Filem Babah mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.
Mengangkat kisah menyayat hati tentang pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa terhadap anak perempuannya, karya arahan Mohd Shah Faizul ini bukan sahaja menyentuh emosi penonton, tetapi turut mengangkat martabat sinema tempatan apabila membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.
Penganugerahan ini menjadi pengiktirafan besar buat sebuah karya yang lahir daripada keikhlasan, dedikasi dan jiwa tulus seorang pembikin filem yang percaya bahawa kejujuran dalam bercerita mampu menyentuh hati khalayak.
Dalam ucapan penuh rasa syukur, Mohd Shah Faizul yang merupakan pengarah filem tersebut menzahirkan penghargaan kepada seluruh tenaga produksi yang berjuang menjayakan Babah dari awal hingga akhir.
“Kemenangan ini adalah hasil keikhlasan semua yang terbabit dalam Babah. Setiap usaha, setiap keringat mereka inilah rahsia Tuhan,” ujar Mohd Shah penuh sebak ketika menerima trofi di pentas FFM34.
Dihasilkan dengan sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh FINAS, Babah menampilkan barisan pelakon hebat seperti Qi Razali, Sweet Qismina, Christina Suzanne, Adam Lee dan Kis Aisha. Keampuhan lakonan dan kekuatan naskhahnya membuahkan hasil apabila filem ini berjaya membawa pulang enam anugerah utama, termasuk Filem Terbaik.
Menariknya, dua bintang utama Babah turut mencipta detik manis apabila masing-masing diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. Qi Razali dan Sweet Qismina bukan sahaja menyerlah dengan persembahan penuh emosi, tetapi juga berjaya menyentuh hati juri melalui kejujuran lakonan mereka, sekaligus membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 setiap seorang.
Kemenangan Babah sekaligus menewaskan empat pencabar hebat lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Reversi, Soloz: Game of Life dan Takluk: Lahad Datu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai karya paling berpengaruh tahun ini.
Kejayaan Babah tidak berhenti di situ. Filem ini terus mendominasi malam FFM34 dengan kemenangan dalam beberapa kategori penting termasuk Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq) sekali gus menjadikan Babah antara karya paling menyerlah dan diraikan tahun ini.
Sementara itu, anugerah Pengarah Terbaik menjadi milik gandingan dinamik Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menerusi filem aksi Blood Brothers: Bara Naga. Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu turut diiktiraf dengan Anugerah Khas Filem Box Office, hasil kejayaan kutipan luar biasa dan kerjasama promosi strategik bersama Media Prima Berhad.
Sementara itu, beberapa anugerah khas turut diumumkan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian luar biasa dalam industri. Filem animasi Ejen Ali diiktiraf menerusi Anugerah Khas Juri 1, manakala Takluk: Lahad Datu menerima Anugerah Khas Juri 2 atas kekuatan naratif dan produksi yang mengangkat semangat perjuangan nasional.
Tokoh animasi tersohor Hassan Muthalib pula diraikan dengan Anugerah Khas Karyawan, manakala pelakon legenda Dato' Ahmad Tarmimi Siregar menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman sebagai penghormatan terhadap dedikasi dan jasa beliau dalam dunia seni lakon tanah air.
Selain itu, pemenang tujuh kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Dokumentari Terbaik turut menerima RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS, sebagai galakan kepada penggiat filem tempatan untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi.
Menambahkan seri malam penuh gemilang itu, FINAS turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai tanda hormat dan kasih terhadap insan seni yang telah banyak berjasa kepada industri. Antara tokoh yang diraikan ialah Datuk Hajah Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali dan Othman Hafsham nama-nama besar yang menjadi tunjang dalam sejarah perkembangan sinema negara.
Dengan mengangkat tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, malam Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang diacarakan oleh Dato’ Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim menjadi bukti bahawa sinema tempatan terus mekar dengan semangat baharu — meraikan kreativiti, kejujuran berkarya dan kekuatan penceritaan yang sentiasa dekat di hati penonton Malaysia.
Senarai Pemenang Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34)
Filem Terbaik
Babah – Nads Media Entertainment
Pengarah Terbaik
Syafiq Yusof & Abhilash Chandra – Blood Brothers: Bara Naga
Pengarah Harapan
Shah Faizul – Babah
Cerita Asal Terbaik
Nadia Nadzri – Babah
Lakon Layar Terbaik
Wan Rafiq – Babah
Pelakon Lelaki Terbaik
Qi Razali – Babah
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly – Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon Lelaki Harapan
Amir Ahnaf – Kahar: Kapla High Council
Pelakon Wanita Terbaik
Sweet Qismina – Babah
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Ellie Suriaty – Telaga Suriram
Pelakon Wanita Harapan
Michelle Lungan – Tegkang
🎖️ Anugerah Khas
- Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib
- Anugerah Sepanjang Zaman: Dato’ Ahmad Tamimi Siregar
- Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2 – Wau Animation & Primeworks Studios
- Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu – Multimedia Film Production Sdn. Bhd.
🎬 Pencapaian Teknikal & Kreatif
Aksi & Lagak Ngeri Terbaik
Defenderz Action Team – Blood Brothers: Bara Naga
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Puteri Rafasya – Telaga Suriram
Penyunting Terbaik
Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof – Soloz: Game of Life
Sinematografi Terbaik
Nicholas Chin – Blood Brothers: Bara Naga
Penataan Seni Terbaik
Wan Zulkifli Wan Salleh – Kulit Wayang
Skor Muzik Asal Terbaik
Soloz: Game of Life – Muhammad Zaiff Sharqil, Donald Bangkong, Teoh Eng Hooi, Azri Yunus, Mohammad Raziz, Mohd Idham, Megat Sazali & Ahmad Huzai
Penataan Bunyi Terbaik
Mohsin Othman & Technica Studios – Soloz: Game of Life
Lagu Tema Terbaik
“Bara Jiwa” – Azlan & The Typewriter & Muzza (Blood Brothers: Bara Naga)
Dokumentari Terbaik
Rindu Tak Berpenghujung – Media Prima Berhad
Filem Pendek Terbaik
Saranghae – Rastech Worldwide Sdn. Bhd.
Rekaan Kostum/Busana Terbaik
Farah Syaliq – Mencari Ramlee
Tatarias/Solekan Terbaik
Ella Sandera – Takluk: Lahad Datu
Kesan Khas Visual Terbaik
Jehcob & Sam – Soloz: Game of Life
Poster Terbaik
Tegkang – Arst
Filem Box Office
Blood Brothers: Bara Naga – Skop Productions Sdn. Bhd.




0 Ulasan