AFGAN KEMBALI 'PUKAU' PEMINAT DI MALAYSIA

Menjadi bintang seni suara bukanlah perjalanan yang mudah. Ia menuntut pengorbanan serta keikhlasan seorang penghibur dalam melahirkan karya muzik yang benar-benar mampu menyuntik semangat pencinta seni, sekali gus membawa penonton menyelami keindahan muzik melalui setiap persembahan yang dipersembahkan.

Begitu juga bagi bintang terkenal Indonesia, Afgan, yang sekali lagi bakal menghiburkan para peminatnya secara eksklusif pada 5 Disember ini menerusi sebuah persembahan istimewa berjudul Afgan Retrospektif Showcase, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Showcase tersebut dianjurkan bersempena pelancaran album terbaharunya berjudul Retrospektif, karya terkini penyanyi bernama penuh Afgansyah Reza, yang turut mengangkat tema yang sama. Menurut Afgan, pemilihan judul itu melambangkan perjalanan hidup serta kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Retrospektif bagi saya adalah detik untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu dan menjadikannya pelajaran untuk terus berkembang menjadi manusia yang lebih baik. Album baharu ini benar-benar mewakili idea itu. Saya melihat kembali perjalanan hidup saya sepanjang beberapa bulan terakhir, belajar daripada setiap perubahan, dan akhirnya lahirlah album ini,” katanya.

Album Retrospektif turut membawa nilai sentimental buat penyanyi Terima Kasih Cinta itu kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama yang diterbitkannya selepas beberapa tahun menghasilkan karya dalam bentuk dwi-bahasa.

Menurut Afgan, Retrospektif memiliki nilai seni yang tinggi, khususnya dalam penekanan aspek bahasa sebagai medium kemanusiaan yang diterjemahkan melalui lirik dan melodi. Katanya, genre pop yang dibawakan dalam album itu sangat dekat dengan jiwanya, malah penyanyi berusia 36 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan album terbaharu itu di Kuala Lumpur menjelang showcase-nya nanti.

Album ini ibarat saya kembali kepada genre yang membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini, jadi Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul dan juga titik balik dalam kerjaya saya.

Selain Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa dan saya mahu mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini. Itulah sebabnya saya memilih untuk mengadakan showcase di Malaysia. Saya sangat teruja untuk mempersembahkan lagu-lagu baharu secara langsung buat pertama kali di sini,” tambahnya.

Dalam showcase nanti, Afgan bakal mendendangkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal, bagi membolehkan peminat di Malaysia menikmati pengalaman pertama mendengarnya secara langsung, selain rangkaian lagu popularnya yang lain.

Sementara itu, pihak penganjur, Renjana Idea, meluahkan rasa bangga kerana berpeluang membawa Afgan kembali ke pentas Malaysia menjelang Disember depan.

Showcase ini sangat istimewa kerana ia bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi perjalanan seni Afgan yang begitu dekat di hati peminatnya. Kami yakin persembahan ini akan memberikan pengalaman penuh emosi dan bermakna, terutama buat peminat setianya di Malaysia,” ujar wakil Renjana Idea.

Tiket untuk menyaksikan Afgan Retrospektif Showcase dijual pada harga RM358 hingga RM1,398 menerusi laman web golive-asia.

Catat Ulasan

0 Ulasan