ANITA SARAWAK KEMBALI KE 'PENTAS' KRU SABTU INI?

Bayangkan pada tanggal 22 November ini, Superstar Anita Sarawak kembali menghangatkan pentas Axiata bersama KRU.

Pastinya suasana akan meledak dengan sorakan peminat apabila legenda itu muncul semula selepas berpuluh tahun menyepi. Bukan sekadar gimik, mahupun angan-angan, tetapi satu kemungkinan yang semakin nyata. Namun persoalannya, adakah ia benar-benar bakal menjadi kenyataan?

Inilah tanda tanya yang membuat peminat tidak keruan sejak tersebarnya khabar bahawa Anita mungkin diterbangkan khas untuk menjayakan Konsert GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Adiknya, aktres tersohor Noor Kumalasari, memaklumkan bahawa sekiranya kemunculan Anita benar-benar berlaku, ia sudah cukup membuktikan kebolehan hebat penganjur konsert tersebut. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan Anita untuk kembali atau sebaliknya masih bergantung kepada keadaan dan kehendak peribadi legenda itu.

“Saya sebenarnya baru tahu tentang tawaran ini semalam (kelmarin). Saya doakan yang terbaik buat mereka. Mengenali Kak Nita, jika dia kata tidak, maka memang tidaklah,” ujar Noor Kumalasari.

Beliau menjelaskan bahawa Anita kini memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih sederhana dan normal, jauh daripada gemerlapan dunia hiburan.

“Dia nak hidup macam kita biasa, tiada lagi glamor. Dia mahu jadi isteri yang baik, memasak untuk suami, dan menjalani kehidupan tenang. Tiada lagi kehidupan glamor. Jadi memang dia takkan datang. Harapan itu sangat tipis. Tapi saya tak salahkan dia, sebab kita semua pun mahukan kehidupan yang normal sekarang,” tambahnya.

Kenyataan itu diberikan ketika Noor ditemui pada pelancaran tudung terbaru jenama Nafesa di The Agam pada Sabtu lepas di mana beliau turut berperanan sebagai jemputan khas untuk memperagakan koleksi tudung tersebut.

Hubungan mereka sebagai adik-beradik kini bersifat lebih low profile, dengan perbualan hanya berlaku sekali setahun, lazimnya semasa Hari Raya. Selebihnya, Anita memilih untuk menjalani kehidupan berpindah-randah di Amerika Syarikat kerana terlibat dalam perniagaan hartanah, menjadikan lokasi sebenar beliau sukar dijejaki.

Di sebalik cabaran tersebut, pihak penganjur, termasuk pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, terus berusaha. Rundingan dengan wakil Anita yang menetap di Las Vegas dijalankan secara teliti dan penuh dedikasi.

Persoalannya kini, adakah Malaysia bakal menyaksikan kemunculan semula Anita Sarawak selepas lebih sedekad menyepi? Atau adakah penampilan itu hanya kekal sebagai satu impian yang belum pasti menjadi kenyataan?

Yang pasti, sekiranya Anita benar-benar kembali ke pentas pada 22 November ini, ia bukan sekadar satu konsert biasa, tetapi satu detik bersejarah yang dinantikan seluruh peminat.

Catat Ulasan

0 Ulasan