Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merancang untuk menerbitkan semula karya serta buku ilmiah tokoh animasi negara, Hassan Muthalib, bagi memastikan warisan dan sumbangan beliau terus menjadi rujukan penggiat filem serta animasi tanah air.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, karya-karya Hassan akan ditempatkan sebagai koleksi khas di perpustakaan FINAS bagi memudahkan produser, pengarah dan penggiat industri mengakses, mempelajari teknik, idea dan pengalaman tokoh berpengaruh itu dalam pembikinan filem dan animasi.
Hassan digelar Bapa Animasi Malaysia dan merupakan antara tokoh yang membina asas kukuh kepada industri animasi tempatan. Dilahirkan di Sungai Petani, Kedah pada tahun 1945, minatnya terhadap seni visual dan perfileman sejak kecil membawa beliau menyertai Filem Negara Malaysia pada 1968. Antara karya awal yang melonjakkan namanya ialah Hikayat Sang Kancil (1978), animasi rujukan yang memainkan peranan besar dalam membentuk identiti animasi negara.
Lebih tiga dekad berkarya, beliau menghasilkan ratusan iklan, dokumentari dan filem animasi. Pada 1998, Hassan mencipta sejarah dengan menerbitkan Silat Lagenda, filem animasi pertama Malaysia. Beliau juga terlibat dalam beberapa filem tempatan berpengaruh seperti Mat Gelap (1990) selain menyumbang kepada perkembangan estetik serta bahasa visual animasi moden.
Dalam kunjungan menerusi program Ziarah Seni Madani FINAS 2025, Fahmi memaklumkan bahawa Hassan turut aktif menulis karya ilmiah berkaitan makna filem dan proses pembikinan, dan bahawa sebuah buku baharu dijangka diterbitkan awal tahun depan. Sumbangan seperti ini wajar kita dokumentasikan,” katanya.
Koleksi karya Hassan termasuk animasi popular Sang Kancil dan Sang Monyet akan membantu pelajar, penyelidik dan penggiat seni memahami sejarah serta evolusi animasi tempatan. Dokumentasi ini tidak hanya mengiktiraf jasa beliau, tetapi turut menjadi inspirasi untuk generasi baharu menerokai dunia animasi.
Sumbangan besarnya kepada industri juga diiktiraf melalui pelbagai anugerah: Anugerah Juri FFM22 (2009), Anugerah Karyawan Animasi Negara (2012), Anugerah Tokoh Animasi (2018) serta yang terbaharu, Anugerah Khas Karyawan FFM34, yang memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai figura penting dalam sejarah seni animasi Malaysia.
Gambar: Malaysia Kini“Kita mahu generasi muda bukan sahaja mengenali tokoh-tokoh seperti beliau tetapi juga memahami asas dan sejarah perkembangan animasi serta filem tanah air,” ujar Fahmi.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Hassan yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan tulang belakang.
Hassan antara figura unggul dalam dunia perfileman dan telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya, Malaysian Cinema In A Bottle (2013) dan From Deer Mouse to Mouse: 70 Years of Malaysian Animation, ASWARA (2016).


.jpeg)


0 Ulasan