Viu Malaysia terus memperkukuh momentum dalam memperkasakan naskhah tempatan dengan memperkenalkan drama psikologi romantik pertama mereka, Saat Aku Tahu (The Moment I Knew). Siri 15 episod terbitan Global Film Station yang diarahkan Riza Baharudin ini menjanjikan pendedahan rahsia gelap antara dua sahabat, perjalanan emosi yang penuh kejutan, konflik rumah tangga yang berlapis serta dendam yang membara. Drama ini mula ditayangkan sejak 6 November 2025 setiap Khamis dan Jumaat, dan sejak episod pertama, ia pantas menjadi antara naskhah paling dinantikan bulan ini.
Kisahnya berpusat pada Ameena, lakonan Anna Jobling, seorang isteri setia yang hidupnya musnah apabila mendapati suaminya, Zarif yang dibawa oleh Hisyam Hamid, menjalin hubungan sulit dengan sahabat baiknya sendiri, Maira, watak yang dipersembahkan dengan penuh intensiti oleh Ummi Nazeera.
Pengkhianatan itu bukan sahaja meragut kebahagiaan Ameena, malah mengubah dirinya sepenuhnya. Daripada seorang wanita lembut dan penyabar, dia berubah menjadi individu yang dipenuhi kemarahan dan dendam yang menghancurkan jiwanya sedikit demi sedikit. Konflik semakin memuncak apabila Maira enggan mengundurkan diri, mencetuskan perang psikologi antara dua wanita yang sama kuat tetapi membawa luka serta niat yang berbeza.
Drama ini mengupas tema hubungan toksik, manipulasi emosi dan tipisnya garis antara cinta serta kehancuran. Barisan pelakonnya turut menjadi kekuatan utama dengan Anna Jobling menyerlah sebagai Ameena, berbekalkan rekod kejayaan drama seperti Melur Untuk Firdaus dan Jendela Hati, selain pengiktirafan di pentas antarabangsa menerusi anugerah Outstanding Asian Star (Malaysia) di Seoul International Drama Awards 2025.
Ummi Nazeera pula memberikan dimensi gelap yang meyakinkan sebagai Maira selepas membuktikan kekuatannya melalui naskhah terdahulu seperti Rindu Kasih dan Andai Tiada Dia, di samping gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Drama Sangat. Manakala Hisyam Hamid pula menampilkan sisi berkarisma sebagai Zarif, seorang suami yang bergelut dengan rasa bersalah dan konflik emosi, namun tidak dilupakan juga Luqman Hafidz sebagai Harris hadir sebagai pemerhati senyap yang terperangkap dalam kekusutan jiwa tiga segi ini.
Kejayaan karya-karya terdahulu seperti Lambaian Huda dan Seadanya Kita, yang berada dalam kelompok lima tertinggi tontonan di Viu Malaysia serta meraih lebih 730 juta tontonan di media sosial, membuktikan bahawa penonton tempatan amat menggemari drama yang sarat konflik dan emosi mendalam. Dengan pendekatan psikologi yang lebih segar dan matang, Saat Aku Tahu muncul sebagai naskhah yang meninggalkan impak mendalam serta mudah melekat di hati peminat drama cinta moden yang gelap, dramatik dan penuh intensiti.
Drama Saat Aku Tahu kini boleh distrim melalui aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV pintar, atau terus di laman rasmi Viu.


0 Ulasan