Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu cinta atau galau dari negara seberang, pastinya akan mengenali dua kumpulan ini, Radja dan Wali. Kumpulan muzik legenda dari Indonesia ini bakal bergabung di satu pentas pada 10 Januari depan, menjanjikan malam penuh emosi, nostalgia, dan energi luar biasa.
Memilih Idea Live Arena, Petaling Jaya sebagai lokasi persembahan, konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” bukan sekadar hiburan biasa tetapi ianya merupakan persembahan wajib ditonton bagi semua penggemar muzik serantau.
Dianjurkan bersama Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events, dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) dengan sokongan padu daripada Rakan Strategik seperti Redbox, Three Hand Production, Dua Darjat Coffee, GGR Motor, serta media rasmi Gempak, stesen radio Era, Sinar, THR Gegar, dan hotel rasmi Royale Chulan, konsert ini bakal menghidangkan pengalaman luar biasa buat pencinta muzik seantero rantau.
Lebih daripada sekadar konsert, ia menjadi simbol kolaborasi dua kumpulan legenda yang mewarnai zaman remaja ramai peminat dengan lagu-lagu cinta, galau dan ketuhanan yang masih segar hingga kini. Energi, vokal, dan karisma Radja serta Wali dijangka menggegarkan pentas dengan persembahan yang sarat emosi dan kenangan.
Menurut Pengarah Konsert, Muhamad Firdouz Abd Razak (Fidote), gabungan dua legenda ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah projek harmoni yang menyatukan dua dunia muzik tersohor.
“Satu pengalaman yang sangat berharga buat semua peminat muzik. Gabungan Radja dan Wali mencipta momen muzik yang sukar dilupakan. Showmanship mereka memang legend, dengan energi di atas pentas yang luar biasa. Namun begitu, jangan lupa, rakan strategik turut menjadi tulang belakang kejayaan konsert ini,” katanya.
Dengan gubahan muzik yang diberi nafas baharu, Pentas RadjaWali Live in Malaysia bakal membuka tirai tahun 2026 dengan pengalaman penuh magis dan kenangan abadi, satu malam yang dijangka menggamit memori dan mengukir nostalgia indah dalam hati setiap pencinta muzik nusantara.
Penjualan tiket bagi konsert ini sedang rancak dilakukan. Beberapa jenis tiket sudah terjual dan menunggu masa untuk mencari pemiliknya. Tiket yang ditawarkan bermula dari RM177 hingga RM977 boleh dimiliki sekarang melalui laman Fantopia.io.
Konsert ini bakal menyajikan lagu-lagu hit kedua-dua kumpulan. Dari Radja, peminat boleh menantikan “Jujur”, “Bulan”, dan “Cinderella”; manakala Wali bakal menghidangkan “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, dan “Tomat (Tobat Maksiat)”.
Bagi vokalis Ian Kasela (Radja), beliau tidak sabar untuk kembali ke Malaysia menjelang Januari depan. Menurutnya, negara ini menjadi destinasi kedua selain tanah air mereka, tempat mereka merasai ketenangan dan menghubungkan diri melalui muzik.
“Malaysia selalu dekat di hati kami. Impian jadi kenyataan bila dapat perform lagi di sini,” katanya.
Bagi Wali, Malaysia ibarat rumah kedua, dan peluang mengadakan persembahan di sini amat bermakna.
“Kami rindu peminat mesra dan makanan enak di sini. Kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang berbeza,” kata mereka.
Jika anda penggemar muzik dari Indonesia dan mahu merakam momen yang akan menjadi sejarah abadi tanpa sempadan, jangan lepaskan peluang hadir pada 10 Januari 2026 di Pentas RadjaWali Live in Malaysia, Idea Live Arena, Petaling Jaya. Pastikan anda tidak terlepas temu janji istimewa ini bersama kami.



.png)


0 Ulasan