Biduanita negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza, sekali lagi membuktikan keampuhan popularitinya apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari 2026, kini mencatat 98 peratus jualan tiket.
Menurut Siti, hanya sekitar 1,000 tiket kategori VIP dan Gold masih berbaki untuk dimiliki para peminat setia yang mahu menyaksikan persembahan mega tersebut.
“Apabila tiket sudah 98 peratus terjual, saya sangat bersyukur, alhamdulillah. Tinggal lagi sekitar 1,000 tiket untuk kategori Gold dan VIP. Saya pun tidak mahu terlalu mendesak peminat. Kalau mereka sempat mendapatkan sebelum habis, alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang sudah membeli,” ujar penyanyi kesayangan ramai yang kini berusia 46 tahun itu ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung dalam bidang Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, baru-baru ini.
Disebabkan sambutan luar biasa daripada peminat, pihak pengurusan konsert mengambil langkah menambah tiket bagi dua kategori tambahan iaitu Bronze dan Restricted View. Namun, tambahan tersebut juga habis dijual dalam tempoh yang amat singkat.
“Sambutan memang luar biasa. Ramai yang minta tiket tambahan, jadi kami menilai dari semasa ke semasa. Apabila melihat masih ada ruang, kami buka sekitar 2,000 tempat duduk dan semuanya habis,” jelas Siti yang tidak menyangka permintaan terhadap konsert kali ini begitu tinggi.
Penyanyi tersohor itu yang baru sahaja melancarkan album irama tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara, tidak menolak bahawa pelancaran karya tersebut turut menjadi pemangkin utama kepada lonjakan jualan tiket konsertnya.
“Saya percaya faktor itu turut menyumbang. Ramai peminat terus mendapatkan tiket selepas pelancaran album itu. Mungkin juga ada yang masih menunggu dan mengumpul wang untuk membeli tempat duduk kategori yang mereka sasarkan,” katanya dengan penuh rendah hati.
Sebelum ini, jualan tiket konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza mencatat angka menakjubkan, apabila 58,000 tiket habis terjual hanya dalam tempoh dua minggu.
Konsert mega ini bukan sekadar persembahan biasa, malah menjadi momen peribadi penuh makna buat Siti kerana ia berlangsung sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-47.
Lebih istimewa lagi, konsert berprestij ini turut diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dan dijangka menarik peminat dari pelbagai negara, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi hiburan bertaraf dunia.


.png)


0 Ulasan