Walaupun sebelum ini pernah merakamkan beberapa lagu berteraskan tradisi seperti Zapin Pak Ngah Balik, Zapin Berzapin dan Ghazal Bulan Di Riba, serta album duet klasik Firuz bersama Syura pada tahun 2003, penyanyi dan pelakon popular Siti Nordiana menganggap single terbaharunya berjudul Ahai sebagai karya yang benar-benar istimewa dan paling dekat di hati.
Dalam arus muzik tempatan yang kini dipenuhi dengan alunan pop moden dan elektronik, Nana tampil berani menghidupkan semula keindahan Irama Malaysia menerusi karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh di bawah label 1711 Music.
Menurutnya, Ahai merupakan impian yang terpendam selama dua tahun, lahir daripada hasrat tulus untuk mengembalikan jiwa serta elemen tradisional muzik Melayu ke pentas arus perdana, namun disuntik dengan sentuhan moden yang segar dan mudah diterima oleh generasi masa kini.
“Sudah lama sebenarnya saya berhasrat untuk keluarkan lagu berteraskan Irama Malaysia. Dulu saya pernah merakam lagu dalam genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. Jadi, selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya impian itu terlaksana juga,” katanya.
JIWA TRADISI, NAFAS MODEN
Bagi Nana, Ahai bukan sekadar projek hiburan semata-mata, tetapi satu usaha memartabatkan semula muzik Melayu agar terus relevan dalam kalangan pendengar muda.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Irama Malaysia, malah pernah menyertai pertandingan Bintang Asli sejak kecil. Apabila ramai peminat meminta saya nyanyi lagu begini semasa ‘show’, saya rasa inilah masa yang tepat untuk menghidupkan semula genre ini dalam versi lebih moden,” ujarnya.
Dari segi konsep dan susunan muzik, Ahai menampilkan bunyi tradisional seperti gendang dan kompang, namun diadun dengan elemen kontemporari yang menjadikan iramanya mudah diterima khalayak masa kini. Inspirasi lagu ini turut diambil daripada karya Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), yang sinonim dengan keindahan lagu-lagu berteraskan tradisi.
“Saya mahu ‘roh’ lagu tradisional seperti dulu dikekalkan, ala gaya Pak Ngah. Tapi pada masa yang sama, ia diolah supaya sesuai dengan citarasa masa kini,” jelasnya.
MAKNA DI SEBALIK “AHAI”
Selain daripada melodi yang rancak dan berjiwa Melayu, Ahai sarat dengan mesej nasihat, kasih sayang dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Lagu ini mengisahkan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, menekankan bagaimana hubungan perlu dijaga dengan lembut, tegas, namun penuh kasih.
“Lagu ini memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Saya perlu menjiwai emosi, kadang lembut, kadang tegas, namun tetap diselitkan dengan gurau senda. Ahai bukan sekadar hiburan, malah boleh dijadikan panduan hidup,” jelas Nana.
Rakaman Ahai turut memberikan cabaran tersendiri kepada penyanyi itu, terutama dari segi kawalan vokal dan penghayatan, bagi menyeimbangkan tenaga dan kelembutan di bahagian-bahagian tertentu lagu.
SEMANGAT MEMARTABATKAN WARISAN
Pemenang tiga kali Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu yakin bahawa Irama Malaysia masih relevan dan mampu berdiri megah di tengah arus muzik moden, asalkan dibawa dengan nafas baharu.
“Irama Malaysia memberi variasi pada industri. Saya lihat ramai rakan artis lain turut mencuba dan mendapat sambutan positif. Ini menunjukkan pendengar kita semakin terbuka dan matang,” ujar anak jati Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu.
Nana juga tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan album penuh Irama Malaysia secara solo, sekiranya Ahai menerima sambutan hangat daripada peminat.
“Kalau dulu Nana duet, sekarang Nana nak solo. Tapi kita tengok dulu penerimaan orang muda macam mana,” katanya sambil tersenyum.
Sebagai pelengkap kepada single ini, video muzik rasmi Ahai ditayangkan pada 7 November jam 9 malam di saluran YouTube 1711 Music, dengan penampilan istimewa Siti Nordiana FC sebagai artis undangan.
Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan Nana dengan peminat setia, malah memperlihatkan bagaimana warisan muzik tradisional boleh dipersembahkan secara segar, moden, dan dekat di hati generasi kini.
Kini, Ahai boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, menandakan satu lagi langkah berani Siti Nordiana dalam perjalanan seninya untuk menyulam nostalgia, cinta, dan nilai tradisi dalam satu irama yang kekal abadi.






0 Ulasan