SITI DILANTIK PROFESOR ADJUNG UITM

Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi membuktikan bahawa keunggulannya tidak hanya terletak pada dunia seni suara, malah turut menyerlah dalam bidang akademik dan keusahawanan. Terbaharu, penyanyi tersohor tanah air itu dilantik sebagai Profesor Adjung dalam bidang Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkuat kuasa 15 Oktober 2024 hingga 15 Oktober 2027.

Pelantikan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM. Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi universiti serta wakil industri dan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) selaku fakulti pengusul pelantikan.

“Saya Anggap Ini Sebagai Amanah Besar”

Siti, 46, meluahkan rasa syukur dan terharu atas penghargaan yang diberikan UiTM. Bagi beliau, pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga satu amanah untuk memberi kembali kepada generasi muda.

“Saya bersyukur dengan pelantikan ini. Saya bukanlah ahli perniagaan besar, tapi sebagai selebriti yang terlibat dalam dunia perniagaan, saya diberi peluang untuk berjaya.

“Pelantikan ini saya lihat sebagai satu tanggungjawab untuk menyumbang ilmu dan pengalaman kepada anak bangsa. Ramai sebenarnya yang berpotensi besar, dan kita perlu beri peluang serta ruang kepada mereka, khususnya pelajar,” ujarnya.

Siti turut berharap peranannya sebagai Profesor Adjung mampu menginspirasi lebih ramai pelajar UiTM untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadi usahawan yang berjaya serta beretika.


Ikon Seni & Usahawan Wanita Berdaya Saing

Pelantikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung dilihat sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besarnya sebagai ikon seni dan usahawan wanita Malaysia. Melalui jenama SimplySiti, beliau berjaya membuktikan keupayaan anak tempatan dalam membina empayar perniagaan berasaskan nilai integriti, inovasi dan kualiti.

UiTM dalam kenyataan turut menegaskan bahawa kerjasama strategik bersama tokoh industri seperti Siti mampu membuka peluang luas kepada pelajar untuk menimba ilmu dunia sebenar keusahawanan serta mengukuhkan jaringan industri dan akademia.

Sumbangan & Peranan Profesor Adjung

Sebagai Profesor Adjung, Siti akan berkongsi pengalaman sebenar mengenai cabaran dan strategi dalam dunia perniagaan, selain membantu memperkukuh hubungan antara UiTM dan industri kreatif.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai beberapa tugasan yang perlu dilaksanakan. Antara tanggungjawab saya adalah untuk berkongsi pengalaman sebenar tentang bagaimana memulakan perniagaan. Dunia sebenar sangat mencabar, dan saya sendiri sedang melaluinya. Jadi, apa sahaja ilmu dan pengalaman yang saya ada, akan saya kongsikan sebaik mungkin,” katanya dengan nada rendah hati.

Pelantikan ini turut seiring dengan aspirasi UiTM untuk muncul sebagai “Globally Renowned University by 2025”, dengan memberi penekanan terhadap nilai keusahawanan, ketahanan diri dan etika profesional dalam kalangan pelajarnya.

Dengan pelantikan ini, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bukan sekadar terus mencipta sejarah dalam industri hiburan dan perniagaan, tetapi turut menyemarakkan semangat anak muda untuk melangkah berani sebagai usahawan berjaya masa depan.

Catat Ulasan

0 Ulasan