Jika anda membesar dengan Ada Apa Dengan Cinta? (AADC), anda pasti mengerti bagaimana satu dialog ringkas, bait puisi, atau suasana sekolah awal 2000-an mampu membangkitkan memori yang tidak pernah pudar. Dua dekad selepas kisah ikonik itu mencipta fenomena budaya di seluruh rantau, pengarah ternama Riri Riza kini menghidupkan semula magis cinta tersebut menerusi karya muzikal puitis terbaharunya, Rangga & Cinta, yang bakal menemui penonton Malaysia bermula 6 November 2025.
Diterbitkan oleh Miles Films dan diterajui oleh penerbit berpengaruh Mira Lesmana, bersama Nicholas Saputra dan Toto Prasetyanto, filem ini diedarkan secara rasmi di Malaysia oleh Primeworks Studios. Ia menampilkan barisan pelakon muda berbakat besar termasuk Leya Princy, El Putra Sarira, Jasmine Nadya, Kyandra Sembel, Katyana Mawira, Daniella Tumiwa, Rafi Sudirman dan Rafly Altama — gandingan generasi baharu yang menjanjikan pesona tersendiri.
Nostalgia Yang Menyala Semula
Rangga & Cinta bukan sekadar usaha mengulang formula lama tetapi ia adalah kebangkitan semula rasa yang pernah membuat jutaan penonton jatuh cinta. Dengan sentuhan moden yang lebih matang, filem ini membawa kita menelusuri semula keindahan cinta remaja yang polos, disulam dengan kejujuran dan kemanusiaan yang segar. Dari visual nostalgia yang lembut hingga emosi yang menular, karya ini memeluk memori kolektif penonton Nusantara sambil memperkenalkan semula kisah abadi ini kepada generasi baharu.
Ketika ditemui di Kuala Lumpur, pengarah tersohor Riri Riza yang juga merupakan penulis asal Ada Apa Dengan Cinta? bersama penerbit prolifik Mira Lesmana menyifatkan Rangga & Cinta sebagai karya baharu yang diinspirasikan daripada legasi lama. Menurutnya, filem ini berusaha menghidupkan semula momen ikonik naskhah asal dengan nafas baharu yang lebih moden tanpa mengorbankan jiwa asalnya.
“Cerita ini mungkin tentang cinta remaja, tetapi ia tetap mencerminkan realiti sosial masa kini tentang cinta, identiti dan impian,” ujar Riri Riza, yang mengakui pengalaman mengarahkan naskhah ini sebagai antara paling emosional sepanjang kariernya.
Melalui sinematografi yang puitis dan sarat perasaan, setiap pandangan mata dan patah kata antara Rangga dan Cinta terasa begitu jujur serta intim seolah-olah penonton sedang membuka semula album kenangan lama yang masih wangi kertasnya.
Muzikal Puitis Penuh Jiwa
Dalam Rangga & Cinta, muzik bukan sekadar hiasan ia adalah nadi utama penceritaan yang menggerakkan setiap emosi dan makna. Hampir semua babak nyanyian dirakam secara langsung di set penggambaran, menjadikan setiap getaran suara, desah nafas dan luahan hati pelakon hadir dengan ketulenan yang jarang sekali ditemui dalam filem muzikal Asia Tenggara.
“Kami mahu penonton benar-benar merasai emosi setiap watak. Sebab itu, semua nyanyian dirakam secara langsung tanpa sebarang suntingan studio,” jelas penerbit berpengaruh Mira Lesmana, yang sebelum ini turut menerbitkan Ada Apa Dengan Cinta?.
Karya muzik ciptaan pasangan komposer legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed sekali lagi menjadi tulang belakang emosi filem ini. Lagu-lagu ikonik seperti Bimbang, Suara Hati Seorang Kekasih dan Kubahagia dihidupkan semula dengan aransemen moden yang segar, di samping tiga lagu baharu termasuk lagu tema Rangga Cinta nyanyian Eva Celia dan Bilal Indrajaya.
Hasilnya, setiap babak terasa seperti puisi yang bernyanyi — romantik, lembut dan penuh perasaan mengikat hati penonton di antara nostalgia dan penemuan cinta yang baharu.
Kisah Baharu, Wajah Baharu
Plot Rangga & Cinta membawa penonton kembali ke dunia Cinta (Leya Princy), pelajar berusia 17 tahun yang popular, berbakat dalam seni dan disayangi rakan-rakan karibnya Alya, Maura, Milly dan Karmen. Namun, dunia sempurnanya mula berubah apabila kemunculan Rangga (El Putra Sarira), pelajar pendiam dan misteri yang menewaskannya dalam pertandingan puisi tahunan sekolah, mencetuskan detik pertemuan yang mengubah segalanya.
Daripada ketegangan dan ego, perlahan-lahan tumbuh benih rasa yang sukar dijelaskan antara rasa ingin tahu, kejujuran cinta pertama dan dilema persahabatan yang teruji. Cinta mula bergelut antara kesetiaan terhadap sahabat dan suara hatinya sendiri.
Dua pelakon muda, El Putra Sarira dan Leya Princy, berjaya menghembuskan nafas baharu ke dalam watak legenda yang pernah mencipta sejarah di layar perak. Chemistry mereka terasa segar, tulus dan berjiwa bukan sekadar meniru, tetapi mentafsir semula makna cinta remaja untuk generasi masa kini.
Dari Busan ke Kuala Lumpur: Cinta yang Mendunia
Sebelum menyapa pawagam Malaysia, Rangga & Cinta terlebih dahulu menerima tepukan gemuruh di Busan International Film Festival (BIFF) satu pengiktirafan terhadap kekuatan visualnya yang memukau serta emosi yang begitu hidup di layar. Kejayaan itu kemudian diteruskan ke Kuala Lumpur apabila tayangan perdananya disambut penuh meriah oleh peminat dan pengamal media tempatan, membuktikan bahawa nostalgia Ada Apa Dengan Cinta? masih membara dalam ingatan penonton serantau.
Menariknya, pelakon asal AADC, Nicholas Saputra, kini kembali bukan sebagai Rangga, tetapi sebagai penerbit bersama, menandakan perjalanan cinta ikonik ini kini menyeberangi generasi dan peranan.
“Ini momen nostalgia buat penonton lama dan jambatan bagi generasi baharu. Dalam filem muzikal, lagu menjadi bahasa untuk menyampaikan isi hati ia bukan sekadar nyanyian, tetapi luahan perasaan yang paling jujur,” ujar Nicholas.
Cinta Dalam Dunia Digital
Menariknya, Rangga & Cinta turut menjalin kerjasama eksklusif dengan Samsung Galaxy S25 FE menerusi kempen promosi berkonsepkan “meme-fication” — satu pendekatan kreatif yang menghubungkan adegan filem dengan ekspresi digital generasi masa kini.
Kempen ini meraikan semangat anak muda yang berani meluahkan rasa dan identiti diri, selari dengan jiwa filem yang menjunjung nilai kejujuran emosi dan kreativiti tanpa batas. Dalam dunia di mana cinta kini diungkapkan melalui skrin dan emoji, Rangga & Cinta mengingatkan bahawa walau apa pun medianya, perasaan tetap punya bahasa yang sama tulus dan abadi.
Kenapa Mesti Tonton di Pawagam
Filem Rangga & Cinta dicipta khusus untuk layar lebar sebuah karya yang menuntut ruang besar untuk bernafas, dengan komposisi visual yang puitis, rekaan bunyi yang mendakap jiwa, dan emosi yang hidup dalam setiap bait puisi dan lagu.
Di pawagam, setiap degup, bisikan, dan pandangan mata antara Rangga dan Cinta terasa lebih dekat seolah-olah bergetar di dada penonton sendiri. Ia bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengalaman perasaan, di mana cinta, rindu dan kenangan berpadu menjadi bahasa yang hanya layar besar mampu terjemahkan.
Magis Cinta Yang Tak Pernah Pudar
Rangga & Cinta bukan sekadar sebuah filem namun ianya adalah pengalaman sinema yang menggetarkan jiwa, mengajak penonton menyelami getirnya cinta pertama, manisnya persahabatan, dan keindahan nostalgia yang terus hidup dalam ingatan.
Kerana setiap generasi, tanpa mengira waktu dan zaman, punya Rangga dan Cinta mereka sendiri.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai magis cinta yang tidak pernah pudar di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025.


0 Ulasan