Meneruskan komitmen dalam memartabatkan warisan cerita rakyat tempatan, Astro tampil dengan siri terbaharu di bawah francais popular Hikayat menerusi adaptasi legenda klasik “Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup.”
Siri enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn Bhd ini bakal menemui penonton mulai 14 November, setiap Jumaat, jam 9 malam, di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Prima (saluran 105).
Menariknya, kisah rakyat penuh nilai dan pengajaran ini diberi nafas baharu melalui olahan moden yang sarat dengan sentuhan visual segar serta sinematografi memukau, menjadikannya lebih dekat dengan citarasa dan imaginasi penonton masa kini.
Sentuhan Segar Kisah Lagenda
Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup menyorot kisah penuh emosi tentang Mak Tanjung (lakonan Diana Danielle), seorang ibu tabah yang berdepan ujian berat selepas kematian suaminya, Pak Kantan (lakonan Alif Satar). Dalam usaha menyara dua anaknya, Melur (lakonan Arabella Ellen) dan Pekan (lakonan Fimie Don), Mak Tanjung bertekad mencari berlian di kawasan misteri Batu Belah Batu Bertangkup namun tragedi menimpa apabila batu berpuaka itu menelannya hidup-hidup.
Kisah menjadi semakin mencengkam apabila Melur dan Pekan nekad mengembara untuk membebaskan ibu mereka daripada kuasa jahat yang menghantui batu tersebut.
Selain lakonan mantap Diana Danielle dan Alif Satar, siri ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Elly Mazlein, Niezam Zaidi, Ezzanie Jasny serta dua pelakon cilik berbakat besar, Qisya Hairulzain dan Mikael Noah. Menyemarakkan lagi keindahan kisah ini ialah runut bunyi rasmi bertajuk Hikayat Arjuni, dendangan merdu Amsyar Leee.
Komitmen Astro Dalam Mengangkat Warisan Tempatan
Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, francais Hikayat diwujudkan sebagai usaha memperkenalkan semula cerita-cerita rakyat Malaysia kepada generasi baharu melalui pendekatan moden yang segar dan menghiburkan.
“Kami mahu generasi akan datang terus mengenali serta menghargai kisah-kisah rakyat tempatan. Francais Hikayat merupakan inisiatif kami untuk mendokumentasikan semula khazanah warisan ini dalam bentuk tontonan berkualiti tinggi yang sarat dengan nilai murni, serta sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat umur,” ujarnya.
Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup bakal menemui penonton bermula 14 November, setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Prima (saluran 105).
Bagi yang ingin menonton pada bila-bila masa, siri ini turut boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO dan sooka, membolehkan penonton menikmati keindahan kisah legenda ini di mana sahaja, pada bila-bila masa.



0 Ulasan