Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, membuka tirai tayangan dengan pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih kutipan pembukaan RM3 juta dalam tempoh hanya tiga hari.
Kejayaan luar biasa ini membuktikan penerimaan positif penonton terhadap naskhah seram tempatan yang berteraskan mistik dan kepercayaan Nusantara, sekali gus menandakan kebangkitan semula genre seram tempatan di layar perak.
Malam Terlarang turut menjadi perhatian kerana menampilkan gandingan pertama kali dua pelakon hebat tanah air, Zul Ariffin dan Sofia Jane, di bawah arahan pengarah baharu berbakat besar, Labu. Filem ini juga merupakan hasil sentuhan kreatif Hazo Mahayuddin selaku pencipta idea dan penerbit kreatif.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, sambutan hangat daripada penonton menjadi bukti bahawa karya tempatan yang berkualiti tinggi masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi dan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton masih relevan. Kami ingin mengajak mereka yang belum menonton untuk merasai sendiri pengalaman sinematik Malam Terlarang di layar besar,” katanya.
Selain mengetengahkan elemen seram dan mistik Nusantara, Malam Terlarang turut memperlihatkan kekuatan pada tema kekeluargaan penuh emosi yang mengikat jalan ceritanya. Sentuhan visual sinematografi yang memukau, dibantu dengan mutu lakonan mantap barisan pelakonnya, menjadi antara faktor utama kejayaan filem ini menarik perhatian penonton di pawagam.
Kekuatan penceritaan dan produksi berkualiti tinggi itu turut mendapat pengiktirafan di media sosial. Sejak hari pertama tayangan, pelbagai reaksi positif membanjiri platform X (Twitter) dan TikTok, dengan rata-rata penonton menganggap Malam Terlarang sebagai antara filem seram tempatan terbaik tahun ini.
Antara reaksi penonton di media sosial turut menggambarkan keterujaan terhadap naskhah ini. Seorang pengguna X, @Don_Aziz, menyifatkan Malam Terlarang sebagai cubaan yang menarik daripada pasukan produksi dan memuji pembikinannya yang “mengejutkan serta wajib ditonton”.
Sementara itu, @ItsAryya pula berpendapat bahawa filem arahan Labu ini “lebih baik daripada The Conjuring” dan memberikannya penilaian tinggi 8.7 daripada 10.
Seorang lagi penonton, @ConsoleWonders, menyanjung keberanian produksi Malam Terlarang yang menampilkan “penggambaran autentik ritual serta kepercayaan Nusantara” — sesuatu yang jarang diketengahkan dalam filem arus perdana Malaysia.
Dalam pada itu, @HilmiHimself turut memuji jalan ceritanya yang padat serta elemen seram yang tidak berlebihan, sambil menambah bahawa Malam Terlarang menarik kerana berasaskan “amalan pujaan lama yang pernah diharamkan.”
Berlatar era 1980-an, Malam Terlarang membawa penonton menyelusuri kisah sebuah keluarga yang menyimpan rahsia hitam merentas generasi. Di tengah naratifnya ialah watak Mawar, gadis berusia 18 tahun yang menyimpan cita-cita untuk menjadi wartawan, namun terpaksa mengorbankan impiannya demi menjaga ibunya, Sarimah, sementara bapanya, Omar, sibuk mengejar kerjaya politik.
Kehidupan tenang Mawar mula berubah apabila kakaknya, Safar, meninggal dunia secara misteri. Sejak itu, dia mula diganggu pelbagai kejadian aneh dan pengalaman mistik yang tidak dapat dijelaskan. Dalam usahanya membongkar kebenaran di sebalik kematian Safar, Mawar tanpa sedar menyingkap rahsia kelam keluarga mereka sebagai rahsia yang mengundang bala dan menggoncang kepercayaannya sendiri.
Filem ini turut menyampaikan mesej mendalam melalui tema “Bila Bertuhankan Nafsu”, menggambarkan bagaimana manusia sanggup menukar pegangan dan mengorbankan nilai demi memenuhi kehendak duniawi. Malam Terlarang bukan sekadar kisah seram, tetapi juga cerminan terhadap sisi gelap manusia apabila kepercayaan mula goyah.
Malam Terlarang turut dikuatkan dengan barisan pelakon berkaliber yang berjaya menghidupkan setiap watak dengan penuh penghayatan. Gandingan mantap Zul Ariffin dan Sofia Jane menjadi tunjang utama naskhah ini, disokong oleh lakonan berkesan daripada Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.
Kehebatan setiap pelakon dalam membawakan emosi serta konflik dalaman menjadikan Malam Terlarang lebih daripada sekadar filem seram — ia adalah pengalaman sinematik yang memukau dari segi penceritaan dan persembahan visual.
Sebagai penghargaan kepada peminat, para pelakon Malam Terlarang juga akan membuat penampilan istimewa di beberapa pawagam terpilih seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti promosi dan sesi bertemu peminat, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak di media sosial.




0 Ulasan