Dalam kehidupan moden yang sarat dengan tekanan dan tuntutan emosi, muzik sering menjadi ruang persinggahan untuk manusia berhenti seketika, menarik nafas dan kembali menemukan keseimbangan diri. Berteraskan semangat itulah Healing Nite 2026 diperkenalkan, bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah pengalaman hiburan yang membuka ruang kepada pemulihan emosi dan ketenangan jiwa.
Bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Healing Nite 2026 menghimpunkan barisan penghibur tersohor dari Malaysia dan Indonesia. Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah akan berkongsi pentas bersama Lyodra serta Kangen Band, sekali gus menjanjikan sebuah malam yang sarat dengan emosi, nostalgia dan kekuatan muzik Nusantara.
Dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd, Healing Nite 2026 memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi persembahan berikutan nilai simbolik yang dimiliki lokasi ikonik tersebut. Pemilihan ini sekali gus memberikan dimensi sejarah dan pengalaman yang lebih bermakna kepada penonton.
Bagi Anuar Zain yang terkenal dengan vokal lembut serta lirik penuh makna, Healing Nite 2026 dilihat sebagai ruang untuk menyusun kembali emosi dan minda ketika melangkah ke tahun baharu. Menurutnya, muzik berupaya membantu seseorang melepaskan beban yang tersimpan dan membuka lembaran baharu dengan perasaan yang lebih segar serta positif.
Pendekatan berbeza pula dibawakan oleh Ella. Ratu Rock Negara itu melihat muzik sebagai medium pembebasan, ruang untuk meluahkan tekanan, keletihan dan emosi yang terpendam. Bagi Ella, menyanyi dan menikmati muzik merupakan cara paling jujur untuk melepaskan segala yang membebankan sebelum kembali membina keyakinan serta semangat baharu.
Seiring itu, penyanyi lagu Dayang Sayang Kamu, Dayang Nurfaizah mengajak peminat melihat Healing Nite 2026 sebagai pembukaan tahun yang sihat dan bermakna. Selain memberi kelegaan emosi, Dayang menegaskan bahawa menikmati muzik juga merupakan satu bentuk aktiviti sihat yang mampu menggerakkan tubuh dan jiwa, sekali gus membantu mencapai keseimbangan dalaman.
Keistimewaan Healing Nite 2026 tidak terhenti di pentas utama. Bermula seawal jam satu petang, pengunjung akan disambut di Healing Tent yang terletak di pintu masuk utama Stadium Merdeka. Ruang ini diwujudkan sebagai peralihan yang menenangkan, membolehkan pengunjung memperlahankan langkah dan menyerap suasana sebelum malam kemuncak bermula.
Ruang tersebut diperkaya dengan kolaborasi rakan gaya hidup dan kulinari terpilih seperti LADO dengan sajian Melayu autentik, Cartel Coffeeshop dan The Coffee Bean dengan pilihan kopi istimewa, Crackohut dengan ayam gunting dan kebab shawarma, Peti Dessert dengan pastri berkarakter, Sugar and Fruits yang menampilkan kesegaran buah buahan serta NachosLah dengan variasi nachos kontemporari.
Di dalam stadium pula, Coffee Cartel, Ahmad Fried Chicken dan Teratak Spa menyantuni pengunjung sepanjang konsert berlangsung, melengkapkan pengalaman yang dirangka sebagai sebuah acara gaya hidup yang halus dan berlapis.
Healing Nite 2026 diraikan sebagai sebuah ruang pengalaman yang mengangkat muzik sebagai medium kelegaan emosi, sambil menekankan kepentingan keseimbangan hidup dan nilai rohani dalam mencari ketenangan yang lebih menyeluruh. Dalam konteks itu, persembahan yang bakal dipersembahkan tidak hadir sebagai pengganti, sebaliknya sebagai pertemuan emosi yang diraikan secara sederhana dan penuh makna. Dengan barisan artis serta konsep yang dibawakan, malam tersebut diyakini akan tercatat sebagai salah satu detik bersejarah dalam landskap hiburan tempatan.
.png)
.png)
.png)
.png)

0 Ulasan