JULIET: LAGU PENUH MAKNA AKIM & THE MAJISTRET

Rasanya para peminat Akim & The Majistret (ATM) sudah lama menantikan kemunculan karya terbaharu daripada kumpulan ini, apatah lagi selepas kejayaan besar lagu Saksama yang dilancarkan dua tahun lalu. Penantian itu akhirnya terjawab apabila ATM tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Juliet’, sekali gus mengubat rindu peminat setia mereka.

Kali pertama kami di Wajib Tonton mendengar Juliet, identiti dan trademark muzik Akim & The Majistret begitu jelas terasa. Kumpulan ini nyata telah menemui formula muzik mereka sendiri. Bukan sekadar melodi yang memikat, ATM juga terus dikenali dengan kekuatan lirik yang sarat dengan makna mendalam serta emosi jujur dalam setiap karya ciptaan mereka.

Juliet merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota kumpulan Akim & The Majistret, manakala liriknya ditulis oleh Bunga Cantik. Lagu ini mengangkat naratif cinta yang tidak bergantung kepada kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri.



Menurut vokalis utama ATM, Akim Ahmad, Juliet membawa pengertian yang jauh lebih mendalam berbanding sebuah kisah cinta biasa.


“Bagi saya, Juliet adalah tentang keberanian untuk mencintai dengan jujur, walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini sangat dekat dengan realiti hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Tambah Akim, proses rakaman Juliet turut memberikan pengalaman berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan, sekali gus memperkukuhkan keserasian mereka sebagai sebuah band.

Lebih membanggakan, kira-kira seminggu selepas dilancarkan, Juliet berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, sekali gus muncul sebagai satu-satunya lagu Melayu yang tersenarai dalam kelompok Top 3 bersama dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini.

“Kami mahu setiap lagu yang dihasilkan mempunyai jiwa. Juliet lahir daripada perbincangan panjang di studio tentang apa yang kami rasakan sebagai manusia, bukan sekadar sebagai pemuzik. Saya harap pendengar dapat merasai emosi itu setiap kali lagu ini dimainkan,” ujarnya lagi.

Pencapaian tersebut disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa buat industri muzik tempatan dan membuktikan penerimaan luar biasa peminat terhadap karya baharu Akim & The Majistret. Menurut Akim, kejayaan ini amat bermakna selepas segala penat lelah dan emosi yang dicurahkan sepanjang proses penghasilan Juliet.

Tambahnya lagi, kejayaan di carta iTunes itu hadir secara organik hasil sokongan padu peminat, tanpa sebarang gimik.

“Kami tidak menyangka Juliet akan menerima sambutan sehebat ini. Ia adalah hadiah paling bermakna buat kami dan bukti bahawa muzik tempatan masih kuat apabila disokong peminat,” katanya.

“Kami tidak membeli angka atau mencipta gimik. Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelas Akim.


Beliau turut menyifatkan pencapaian ini sebagai suntikan semangat buat Akim & The Majistret untuk terus berkarya dengan lebih jujur dan matang pada masa akan datang.

“Ini satu peringatan bahawa peminat sentiasa menghargai muzik yang jujur. Selagi kami ikhlas berkarya, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Akim & The Majistret bakal melancarkan video muzik rasmi Juliet yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music hari ini. Lebih menarik, video muzik tersebut tampil dengan konsep unik apabila menampilkan sembilan wanita yang masing-masing membawa watak ‘Juliet’.

Antara selebriti wanita ternama yang terlibat ialah Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana dan Farahdiya.

Menurut Akim, kehadiran sembilan figura wanita hebat ini memberikan dimensi baharu kepada penceritaan lagu tersebut.

“Setiap ‘Juliet’ membawa makna yang berbeza. Kami mahu peminat melihat bahawa Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi simbol kepada kekuatan, luka dan keindahan emosi seorang wanita,” ujarnya.

Sejak dilancarkan, Juliet terus menerima reaksi positif di pelbagai platform penstriman digital dan media sosial, sekali gus mengukuhkan kedudukan Akim & The Majistret sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan.

Jom tonton muzik video terbaharu Juliet daripada Akim & The Majistret. Layan! 🎶🔥

Catat Ulasan

0 Ulasan