SENI BUKAN MAKSIAT: LEGACY 30 SITI NURHALIZA MENJAWAB KRITIKAN

Walaupun menerima kritikan luar biasa dalam kalangan pengguna media sosial, Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza menegaskan bahawa penganjuran Legacy 30 merupakan sebuah konsert penghargaan bersempena ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam dunia muzik tanah air. Malah, penghibur nombor satu negara itu dengan tenang menepis persepsi negatif yang melabelkan konsert berkenaan sebagai pencetus maksiat dan didefinisikan sebagai haram, sebaliknya menekankan bahawa ia adalah manifestasi perjalanan seni, usaha kolektif serta sokongan peminat yang tidak pernah pudar sepanjang tiga dekad kariernya.

Seminggu selepas kira-kira 65,000 penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bahang Legacy 30 masih terasa. Konsert mega tersebut terus menjadi perbualan hangat di media sosial, mencerminkan besarnya impak yang ditinggalkan oleh figura seni yang sudah bertapak kukuh hampir tiga dekad dalam industri hiburan tanah air. Pelbagai sudut dibahaskan warganet, merangkumi mutu persembahan, kekuatan vokal, pengurusan acara, hinggalah momen-momen emosional yang dianggap paling berkesan.

Bagi Siti Nurhaliza, reaksi bercampur itu bukan sesuatu yang asing. Sepanjang 30 tahun bergelar anak seni, beliau sudah melalui pelbagai fasa kritikan dan cabaran sejak awal kemunculannya. Justeru, setiap pandangan diterima dengan keterbukaan dan kematangan, tanpa rasa berkecil hati.

“Sebagai anak seni, komen adalah perkara biasa. Saya terbuka dan tidak kecil hati. Yang penting, setiap pandangan dinilai dengan matang,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan ulang tahun kelahiran dan apresiasi media.

Mengulas tanggapan bahawa dirinya sering menjadi sasaran kritikan, Siti mengakui persoalan tersebut pernah terlintas di fikiran. Namun, beliau memilih untuk melihatnya daripada sudut positif.

“Apabila difikirkan semula, saya anggap itu tanda orang ambil berat. Saya teliti dan ambil sebagai panduan. Mereka tidak berada dalam situasi saya, jadi saya memilih untuk memaafkan,” katanya dengan penuh hemah.

Isu berkaitan hukum halal dan haram menghadiri konsert turut menjadi antara perbahasan hangat. Namun, Siti memilih untuk tidak mengulas secara panjang lebar, menyedari sensitiviti topik tersebut.

“Soal agama sangat sensitif. Saya ini manusia biasa, lemah dan tidak sempurna. Saya sentiasa berdoa untuk pengakhiran yang baik. Kehadiran saya di sini adalah dengan izin Allah dan saya percaya setiap insan mempunyai tujuan hidup masing-masing,” jelasnya berhati-hati.

Menurut Siti, Legacy 30 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menuntut komitmen tinggi daripada keseluruhan pasukan produksi, termasuk pengurusan acara, kejuruteraan bunyi, pencahayaan, aspek teknikal serta kawalan keselamatan dan pergerakan penonton.

Malah, pihak stadium turut memberikan maklum balas positif terhadap kelancaran penganjuran konsert, termasuk susun atur tempat duduk dan pengendalian kemasukan penonton.

“Saya sangat berhati-hati kerana tidak mahu penonton pulang dengan rasa tidak puas hati. Alhamdulillah, impian tercapai apabila konsert berlangsung hampir tiga jam dan setiap segmen mendapat respons yang baik,” katanya.

Sokongan dan tenaga padu peminat disifatkan sebagai elemen paling bermakna sepanjang persembahan. Setiap segmen yang dipersembahkan, merangkumi pelbagai genre, menjadi refleksi perjalanan seninya sejak ledakan lagu ‘Jerat Percintaan’ pada tahun 1996.

“Konsert ini merakamkan perjalanan seni saya selama 30 tahun. Sokongan peminat yang tidak pernah putus itulah yang memberi makna besar kepada Legacy 30,” katanya.

Mengimbas pengalaman tersebut, Siti menyimpulkan bahawa tiada yang mustahil selagi seseorang memberikan komitmen terbaik dan mengutamakan kerja berpasukan. Dalam berdepan budaya komen negatif di media sosial, beliau memilih untuk menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih membina dan menyatukan industri.

“Industri hiburan kita tidak besar. Akhirnya semua akan saling bertemu dan bekerjasama. Jadi tidak perlu mencari salah antara satu sama lain. Lebih baik saling menghormati dan meraikan semua yang berada dalam industri,” katanya, bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-47 pada 11 Januari lalu.

Sebagai Biduanita Negara, Siti menegaskan bahawa penghormatan sebenar bukan terletak pada gelaran semata-mata, sebaliknya pada amanah menjaga mutu karya serta memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.

Dalam sidang media sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurus peribadinya, Rozi Abd Razak, yang disifatkan sebagai antara tunjang utama kejayaannya sepanjang tiga dekad berada dalam industri.

“Saya tidak boleh menafikan peranan Kak Rozi dalam perjalanan kerjaya seni saya yang terlalu besar. Beliau menjaga saya lebih daripada menjaga dirinya sendiri. Tanpa kehadiran dan sokongan beliau, mungkin saya sudah lama bersara,” katanya penuh penghargaan.

Sokongan suami tercinta, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa, turut menjadi faktor penting dalam kelangsungan kerjayanya. Walaupun terdapat had tertentu yang ditetapkan, Siti menegaskan bahawa selagi diberi ruang untuk terus berbakti, legasi seninya akan diteruskan.

“Selagi diberi peluang, saya akan terus berkarya. Yang penting, kita saling menghormati dan bersama-sama memperkasa industri,” katanya menutup bicara.

Catat Ulasan

0 Ulasan