DATUK SUHAIMI SULAIMAN SAH TINGGALKAN RTM

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, mengesahkan bakal menamatkan perkhidmatannya bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas lebih tiga tahun menerajui organisasi penyiaran awam itu, berkuat kuasa pada penghujung bulan ini.

Menurut Suhaimi, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui pertimbangan yang mendalam, selari dengan keinginannya untuk melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan, khususnya selepas mencapai usia 64 tahun.

“Ini sebahagian daripada perjalanan hidup. Akan tiba satu tahap di mana kita merasakan sudah sampai masanya untuk bergerak ke hadapan dan melakukan perkara lain. Saya sudah bersara sebelum ini dan dipelawa untuk membantu RTM. Sepanjang tempoh itu, lebih tiga tahun saya berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Ramadan dan Raya bertemakan Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya yang berlangsung di Studio M1, Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi memaklumkan beliau mempunyai beberapa perancangan lain yang ingin direalisasikan, merangkumi aspek kerjaya dan kehidupan peribadi. Bagaimanapun, beliau menegaskan pengalamannya bersama RTM kekal sebagai satu kenangan yang sangat bermakna.

“Banyak perkara yang masih ingin saya lakukan, sama ada secara profesional mahupun peribadi. Namun secara keseluruhan, pengalaman saya di RTM amat indah. Warga kerja RTM mempunyai potensi besar dan bersedia untuk menawan dunia,” ujarnya.

Suhaimi turut menyifatkan RTM sebagai sebuah organisasi yang kaya dengan bakat serta kepakaran dalaman, sekali gus menjadi kekuatan utama institusi berkenaan.

“Saya datang daripada industri media. Jadi apabila berada di RTM, saya mudah memahami hala tuju dan aspirasi mereka. RTM sebenarnya memiliki khazanah besar serta staf yang benar-benar mahir dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan serta transformasi yang dicapai RTM sepanjang tempoh kepimpinannya merupakan hasil kerjasama erat dan sokongan padu daripada kepimpinan tertinggi Kementerian Komunikasi Malaysia, yang terbuka terhadap idea serta pembaharuan.

“Ekosistem yang menyokong itu wujud kerana kepimpinan yang muda dan reseptif. Menteri, Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha semuanya memberi sokongan penuh terhadap usaha pembaharuan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perbincangan bersama pihak atasan, Suhaimi mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa. Saya sudah lama memikirkannya. Bagi saya, jika akar sesebuah organisasi itu subur, pokoknya akan terus hidup walaupun pucuknya dipangkas,” katanya.

Terdahulu, timbul spekulasi mendakwa Suhaimi telah menyerahkan surat pelepasan jawatan dan bakal menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari ini.

Untuk rekod, Suhaimi memiliki pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan pentadbiran, termasuk pernah berkhidmat di Media Prima Berhad, Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Astro Awani.

Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University.

Kredit Gambar: RTM, Bernama. 

Catat Ulasan

0 Ulasan