'Anak Emak'.. singkap permasalahan negatif dalam sebuah keluarga....

Selepas 'Perempuan, Isteri dan....?, Black Widow Wajah Ayu dan Buai Laju-Laju' yang memaparkan negatif sebuah keluarga Melayu, kini pengarah profilik, U-Wei Hj. Shaari menghasilkan pula sebuah naskhah terbaru 'Anak Emak', yang berkisarkan konflik keluarga antara anak dan emak yang telah ditayangkan pada 28 March 2009, secara ekslusif di pawagam Mini P.Ramlee, Finas. 'Anak Emak' yang dibarisi Melissa Saila dan ibunya, Seniwati Mariani ini merupakan sebuah cerita yang amat menarik kerana ia berkisarkan kisah keluarga yang terpencil dan hidup dalam sebuah konflik ciptaan masing-masing. Filem ini cuba mengangkat permasalahan sosial yang berlaku dalam sebuah keluarga melayu di antara hubungan kekeluargaan antara seorang anak dengan seorang ibu. Melissa, di gambarkan seorang anak yang cukup akur dengan kehidupan sederhananya, yang sudah bercerai dengan Hasnor Rahmat dan mempunyai dua orang anak yang sudah bersekolah, di samping seorang ibu yang di sayanginya, Mariani. Di dalam filem ini, U-Wei bercerita kepada khalayak tentang permasalahan keluarga antara dua watak, di mana Melissa seorang ibu tunggal yang terpaksa mengharungi liku-liku kehidupan untuk membesarkan kedua-dua orang anaknya, di samping konflik antara Melissa yang mempunyai seorang ibu yang tidak boleh melupakan rentak gaya kehidupan silamnya (Mariani), yang merupakan seorang perempuan joget di masa lalu. Mariani, mengamalkan kehidupan tanpa sempadannya dengan menjadikan pusat hiburan sebagai tempat menenangkan fikirannya bersama rakan-rakan seperjuangannya. Ini merisaukan Melissa tentang ibunya, yang masih lagi tidak berubah. Akan tetapi, di sebalik rentak gaya Mariani yang masih mengamalkan kehidupan silamnya di masa kini, U-Wei menggambarkan keresahan tersebut melalui mimik muka Melissa yang amat risaukan perkembangan ibunya sehingga menjadikan Melissa dalam filem ini sebagai seorang anak yang tidak tahu menghormati ibunya, Mariani. Lihat sajalah, paparan dialog, tutur kata dan perlakuan Melissa terhadap Mariani, yang benar-benar membuatkan penonton tidak senang duduk menyaksikan pertelingkahan seorang anak dengan seorang ibu, di sebabkan masa silam dan rentak gaya ibunya, masih terbawa-bawa di masa kini. Jika kita perhatikan di dalam mana-mana drama ataupun telemovie yang ditayangkan dikaca tv, kebanyakkannya hanya memaparkan anak yang bermasalah, tetapi dalam 'Anak Emak', U-Wei menerbalikkannya kepada situasi seorang anak yang terpaksa menunggu ibunya, pulang daripada pusat hiburan. Jadi, filem ini sangat menyentuh perasaan dan mencabar pemikiran serta perasaan penontonnya.

'Anak Emak' arahan dan lakon layar U-Wei Hj Shaari ini akan menemui penonton di saluran Astro tidak beberapa lama lagi. Namun begitu, apa yang menarik di dalam 'Anak Emak' ialah keseluruhan filem ini tanpa muzik, dan ia cuma di bantu dengan lakonan berkesan daripada Melissa Saila dan Mariani yang sedikit sebanyak meninggalkan impak yang besar kepada penonton. Lihat sajalah, mana-mana karya U-Wei sebelum ini, tiada muzik yang dicomposed kan, tetapi yang penting adalah isi dan plotnya sahaja. Justeru, 'Anak Emak' boleh dikatakan sebuah filem yang ringkas daripada U-Wei yang mudah difahami, tidak memerlukan kefahaman yang tinggi untuk mengkaji susunan visualnya, sepertimana karya-karya sebelumnya yang lebih abstrak sifatnya. Oleh itu, filem ini perlu ditonton oleh sebuah keluarga yang cintakan keamanan dan bencikan persengketaan dan ia sebuah karya yang sangat-sangat mencabar rasa. Tidak percaya?. Tunggu ajelah tayangannya nanti di kaca tv, barangkali..

Insya-allah..

p/s: Saya cukup kesal, acara tayangan seperti ini kurang dihadiri oleh pegawai-pegawai perfileman dari sebuah badan perfileman yang dijemput. Apakah karya U-WEI tidak menggamit anda untuk menghayatinya?. Ataukah anda sebenarnya hanya tertarik pada karya sampah sahaja?. Wallahuallam..

Catat Ulasan

2 Ulasan

peihong berkata…
ni masalah biase beb... kena tunggu anak emak menang award oversea baru terhegeh hegeh nak angkat karya uwei.

bukan tak pernah jadi kan....
fadz berkata…
apakah badan itu? hahaha