Antara Mimpi, Kapital Mall dan Jamilah... Manakah garapan yang lebih baik?

Sudahkah anda menonton teater 'Mimpi, Kapital Mall dan Jamilah?. Ketiga-tiga teater ini telah dipentaskan di tiga tempat berbeza iaitu Mimpi ( Lambang Sari, Istana Budaya), Kapital Mall (Blackbox Studio, Aswara ) dan Jamilah ( Panggung Taman Budaya, KL). Ketiga-tiga buah teater ini sebenarnya menceritakan kisah yang berbeza dan tiada langsung kena mengena antara satu sama lain. Cuma yang menarik antara ketiga-tiganya ialah isu yang dipaparkan dan diketengahkan. Dalam perkara ini, Kapital Mall merupakan antara teater yang terbaik dalam garapan penceritaannya dalam memaparkan sebuah isu yang berlaku dan di alami oleh seluruh rakyat Malaysia amnya. Apakah yang dipaparkan?. Jom kita selidiki, antara satu persatu teater yang dipersembahkan kepada penonton pada 3, 4,5 dan 6 April 2009.

Teater MIMPI
(dipentaskan pada 3-5 April 2009)
Lambang Sari, Istana Budaya

  • 'Mimpi' merupakan sebuah kisah adaptasi daripada karya William Shakespeare ' a midsummer night's dream' yang di arahkan oleh Jim O'Connor yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Jabatan Teater, UiTM yang terdiri daripada 27 orang pelakon, antaranya ialah Mohamad Kashfi Zulkifli, Siti Nabila Fatehah, Sharifah Hanura dan sebagainya.
  • Ia terbahagi kepada 4 babak di mana setiap babak menceritakan perilaku yang berbeza dan ada kesinambungan antara satu sama lain bagi mewujudkan sebuah cerita yang sempurna.
  • Mimpi merupakan sebuah teater komedi yang jalur naratifnya bergerak secara perlahan dan mendamaikan serta banyak memaparkan adegan-adegan fantasi di mana kisah percintaan, perebutan kuasa dan kehidupan alam adalah ciptaan masing-masing tanpa mewujudkan rasa prejudis. Teater ini mencabar dan memerlukan penghayatan yang tinggi serta mendalam terutamanya di kalangan para pelakon kerana teater ini dipentaskan tanpa henti ( cuma seketika untuk berehat) , dan memerlukan ingatan yang kuat dalam menghafal dialog-dialog untuk dipentaskan. Maka Mimpi adalah cabaran yang kuat buat para pelajar Jabatan Teater, UiTM.
  • Susunan dialog dan ungkapan kata-kata oleh para pelakonnya, agak berkias dan berbunga-bunga yang menjadikan karya Mimpi cukup indah dan amat menarik. Jika anda meminati genre teater seperti ini mungkin agak menyeronokkan, tetapi sekiranya anda seorang yang meminati karya-karya komersial, barangkali anda akan tertidur kerana susunan dialog dalam teater ini agak mendatar dan memerlukan penghayatan dan tontonan yang mendalam buat para penontonnya.
  • Mimpi juga tidak terkecuali dalam mempersembahkan alunan-alunan muzik dan rentak lagu yang menghiburkan ciptaan para pelajar dan dipersembahkan sendiri tanpa menggunakan artis popular. Dalam teater ini, saya cuba membayangkan seandainya Datuk Siti Nurhaliza, tiba-tiba muncul mendendangkan lagu-lagu dalam teater ini. Jika ya, saya akan terkejut dan mungkin akan menarik lagi. Tetapi, ini hanya angan-angan sahaja kerana Mimpi bukannya karya gah yang dipentaskan di Panggung Sari dan cuma di Lambang Sari. Ia cukup berbeza.
  • Justeru, Mimpi bagi saya sebuah persembahan yang cukup memukau daripada para pelajar UiTM yang menjadikan platform teater sebagai kehidupan yang perlu diteruskan. Bagi anda yang terlepas menonton teater ini, amat merugikan kerana Mimpi menghidangkan para pelakon yang cukup cantik, hensem dan sedap mata memandang.. Tak gitu Azwann?..
Teater KAPITAL MALL
(dipentaskan pada 4-6 April 2009)
Blackbox Studio, Aswara

  • 'Kapital Mall', merupakan sebuah teater eksperimen yang diarahkan oleh Nam Ron bersama 9 orang pelajar Jabatan Teater yang telah dipentaskan di Blackbox Studio, Aswara. Dalam perkara ini, Nam Ron bertindak sebagai pengarah artistik sekaligus memimpin produksi teater ini.
  • Teater ini memaparkan jurang konflik yang dihadapi oleh segelintir rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian di mana fokus utama teater ini adalah kepada isu-isu semasa yang dialami di Malaysia amnya. 'Kapital Mall' mengupas permasalahan yang berlaku di sebalik kehidupan mulia pegawai-pegawai kerajaan samada yang bergelar status menteri, pegawai-pegawai khas samada biasa atau berkedudukan, kebanyakkannya menjadikan 'rasuah dan penindasan' sebagai satu cara hidup untuk memiliki kekayaan yang diimpikan.
  • 'Kapital Mall' sedikit sebanyak mengkritik persoalan sosial dengan memberikan penekanan kepada isu semasa, gender dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Teater ini boleh dikatakan sebuah persembahan yang cukup sensitif kepada masyarakat tetapi ia dipersembahkan secara sindiran yang menggunakan elemen komedi sebagai jalan ceritanya. 'Nafsu' dan 'Keinginan' merupakan point utama kepada perkembangan Kapital Mall yang akhirnya menggoncang institusi kemasyarakatan yang membawa kepada persengketaan sesama sendiri. Dalam perkara ini, Nam Ron menggunakan medium 'shopping complex' sebagai plot utama kepada isi penceritaan di mana pusat membeli-belah dalam Kapital Mall kebanyakkannya dikunjungi oleh manusia-manusia yang bermasalah.
  • Jika diperhatikan dalam 'Kapital Mall', Nam Ron mengkritik secara jelas tanpa berselindung di sebalik kata-kata, di mana paparan 'duit kerajaan, duit anak-anak yatim, duit pendidikan' di lekatkan pengenalan tersebut kepada 'paper beg' yang di bawa oleh seorang Datin yang membeli-belah hasil daripada penipuan dan penindasan yang menggunakan hasil rakyat untuk bersenang-lenang. Apakah situasi ini yang di gambarkan Nam Ron adalah sebenar-benarnya berlaku dalam kerajaan di Malaysia sekarang?. Saya tidak boleh mengandaikan perkara ini, cuma anda sendiri penonton yang telah menonton teater ini dapat merungkai setiap persoalan dan isu yang dipaparkan dalam teater ini.
  • Setiap watak yang dibawa oleh semua pelakon yang membintangi teater ini amat menjadi dan agak menarik jika diperhalusi secara mendalam setiap karektor-karektornya. Yang mencuit hati saya dan penonton lain dalam teater ini adalah persembahan karektor badut yang agak comel dan dua orang 'pondan' yang bertelingkah antara satu sama lain dalam merebut impian masing-masing. Ia adalah watak sebagai menggambarkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia. So, janganlah anggap ia sebagai budaya songsang pulak ye..
  • Justeru, kepada anda yang belum menonton Kapital Mall, ayuhlah segera ke Aswara mlm ini, pukul 8.30 malam kerana hari ini adalah malam terakhir untuk persembahan teater yang cukup sensitif ini. Akhir kata, Kapital Mall menyajikan sebuah garapan yang terbaik untuk minggu ini.. Anda pula bagaimana?

Teater JAMILAH
(dipentaskan pada 3 - 5 April 2009 )
Auditorium Taman Budaya, Jln Tun H.S Lee, KL
  • 'Jamilah' merupakan sebuah teater muzikal arahan Liza Tan yang telah dipentaskan oleh pelajar-pelajar Dramatis Camar Pesona Sdn.Bhd, yang terdiri daripada Hamidah Che Soh, Norin Syira, Faiz Jalal, Falliq Effendy dan ramai lagi. Teater ini merupakan sebuah teater muzikal 60-an yang sememangnya mampu mengimbas kenangan silam para penonton walaupun ia dilakonkan oleh muka-muka baru yang ada ketikanya agak menarik dan ada juga kadangkala mencacatkan perjalanan cerita teater ini. Kenapa?. Ini adalah kerana dari segi pemilihan para pelakon, karektor dan penataan seni kadangkala menjadikan teater ini kurang sempurna.
  • Jika di lihat dari sudut penceritaannya, 'Jamilah' memaparkan sebuah cerita tentang kelompok masyarakat yang berlainan darjat antara Mawi dan Jamilah yang menyintai antara satu sama lain. Cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada Engku Bahri, bapa kepada Jamilah yang mementingkan darjat keturunan, tetapi sebaliknya pula ibunya merestui hubungan mereka. Persoalan tentang sesuatu perhubungan antara sesebuah keluarga adalah isu klise yang boleh dilihat dalam mana-mana drama ataupun pementasan teater. Jika seseorang pengkarya itu bijak menyelitkannnya dengan beberapa adegan yang menarik, maka sesebuah teater itu tidak dianggap klise, tetapi sebaliknya. Akan tetapi dalam 'Jamilah', Liza Tan selaku pengarah teater ini menggunakan muzik 60-an sebagai daya penarik kepada teater ini sehingga dianggap sebuah pementasan yang cukup gemilang.
  • Walaupun dilihat sebagai sebuah karya menarik kerana menggabungkan unsur 60-an dalam pementasan 'Jamilah' ini, teater ini agak kekurangan jika dilihat dari sudut lakonan, pemilihan pelakon dan penataan seninya. Dari sudut lakonan, penghayatan watak Mawi yang di bawa oleh Faiz Jalal ( pada 5 April 2009 ) di lihat agak cacat penghayatannya, kerana watak Mawi seorang jejaka idaman Jamilah, perlulah lebih macho dan tegap, tetapi dalam watak yang di bawa Faiz, agak lembik dan seolah-olah teater 'Jamilah' ini sebuah kisah cinta 'anak-anak ikan' dan seorang wanita yang serupa macam seorang ibu. Oleh itu, bukan saya mengatakan watak Mawi itu gagal, tetapi Faiz perlulah menunjukkan bahawa karektor Mawi itu adalah seorang lelaki yang bukan lelaki lembik, sepertimana yang telah dipentaskan semalam. Bagi watak lain, cukup sempurna tetapi watak Jamilah perlulah memilih pelakon yang bersesuaian kerana karektor Jamilah tidak sesuai buat Norin Syira tetapi amat bertepatan sekiranya, watak Jamilah diberi kepada Salmiza Salim, yang memegang watak Biah.
  • Persoalan lain yang timbul apabila memerhatikan 'Jamilah' dari sudut penataan seni terutamanya pada pemilihan props dalam teater ini terutamanya bagi menggambarkan sebuah rumah orang kaya, berkedudukan dan mempunyai pengaruhnya yang agak kuat. Dalam perkara ini, kenapa props cawan atau gelas dalam teater Jamilah menggunakan gelas plastik?. Sedangkan karektor keluarga Engku Bahri seorang yang kaya dan berpengaruh. Oleh itu, Pengarah Artistik, Rosli Rahman Adam perlulah mengambil perkara ini dengan lebih serius terutamanya dari sudut artistik mahupun production designnya. Ini kerana, jika tidak teater Jamilah akan dianggap sebuah pementasan yang kurang mengkaji setiap elemen yang dinyatakan.
  • Justeru, barangkali Jamilah dipentaskan oleh muka-muka baru dan mereka kurang prihatin dalam perkara-perkara tersebut. Bukan saya kata, Jamilah sebuah persembahan yang gagal, tetapi Jamilah perlulah lebih bersedia dari semua sudut sekiranya ingin menjadi sebuah persembahan teater yang terbaik. Insya-allah.
Kesimpulannya, Mimpi, Kapital Mall dan Jamilah adalah ketiga-tiga naskhah yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Jika di baiki lagi, barangkali ia akan menjadi sebuah teater muzikal yang terbaik untuk April ini. Insya-allah.

iklan
Malam ini dipentaskan Teater KAPITAL MALL untuk malam terakhir
di Blackbox Studio, Aswara pukul 8.30 malam
masuk percuma.. datang ramai-ramai ye.

Catat Ulasan

2 Ulasan

ZAIQ berkata…
saye salah seorang yg terbabit dlm pementasan teater Jamilah itu. saye amat menghargai,teguran,komen dan juga pandangan anda terhadap pementasan teater Jamilah itu. terima kasih kerana dtg menonton teater kami. jika kami membuat sebrang persembahan ,kami akan update kn ye? =)
Kashfi Zulkufli berkata…
Saya merupakan salah seorang pelakon yang menjayakan teater MIMPI.terima kasih kerana menyokong teater MIMPI serta teater2 yang lain. sangat menghargai penulisan anda.;)