Program Dr Asri di saluran Oasis

sumber: Harian Metro

Saluran gaya hidup keluarga yang memenuhi citasa penonton pelbagai peringkat usia, Astro Oasis (Saluran 106) terus mendekati golongan sasaran dengan menyiarkan program ceramah yang mengupas dan membincangkan isu semasa berkaitan agama islam, Bahtera Perubahan. Program ceramah yang dikendalikan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia dan juga bekas mufti kerajaan negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menemui penonton Astro Oasis (saluran 105) pada setiap Jumaat, jam 7.30 malam selama 13 episod mulai malam ini.

Pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya meneruskan hasrat menunaikan tanggungjawab sebagai pelopor saluran gaya hidup keluarga dengan menyampaikan program yang dapat mendidik penonton dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah.

"Berpegang kepada prinsip ini, kami meneruskan tradisi saluran untuk menyiarkan program yang dapat memberi kesedaran dan pada masa sama memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi pandangan serta pendapat berhubung tajuk yang dibincangkan.

"Program ini juga dilihat begitu istimewa apabila Dr Asri bukan saja menyampaikan topik mingguan dengan cara ceramah tetapi juga dengan beraninya membincangkan dan menyuarakan pandangan serta mencari kebenaran dengan nada yang lebih berani dan terbuka," katanya.

Program 13 episod ini diterbitkan hasil adaptasi buku tulisan Dr Asri berjudul Mengemudi Bahtera Perubahan Minda yang juga satu daripada 21 judul buku yang pernah ditulisnya. Program ini menemui penonton pada setiap minggu selama 30 minit.

Program ceramah ini terbahagi kepada tiga segmen utama yang berupaya menarik minat serta membuka mata dan minda masyarakat terutama umat Islam iaitu perbincangan tajuk, contoh kejadian dan seterusnya mengupas dan membuat kesimpulan tajuk.

Antara topik yang bakal menemui penonton pada setiap minggu seperti Ikut Fakta, Buang Taklid Buta, Falsafah Haji, Mudahkan Pendekatan Islam, Pencemaran Israiliyyat, Piawaian Ilmu Dalam Ceramah, Jangan Lelongkan Agama, Fekah Interaksi dengan Bukan Muslim, Islam dan Kebebasan Budaya serta Fesyen dan Kembalikan Peranan Zakat.

Selain tajuk Mengapa Masjid Kita Kaku, Dunia Hiburan Terbabas, Hak Wanita: Antara Hukum Tuhan dan Perlaksanaan Insan, Persaudaraan Islam dan Ekonomi Umat.

Catat Ulasan

0 Ulasan