26 Resolusi dari Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia

Di antara perkara yang dibincangkan semasa sidang media 'Buku Kongres Kebangsaan Industri Hiburan Dan Kesenian Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur' baru-baru ini adalah mengutarakan beberapa cadangan dan usul berkaitan Industri hiburan, filem dan teater. Ini merujuk kepada 26 resolusi berkaitan.

maklumat terperinci mengenai resolusi ini, sila dapatkan akhbar Berita Harian, hari ini ( 7 Okt 09).


secebis petikan 26 resolusi yang dibincangkan bersama....
..........................................................................................................................................................................

Resolusi Industri (Hiburan)

  1. Kerajaan disaran mewujudkan Akta Hiburan Nasional sebagai regulatori untuk mengawal selia bidang hiburan tanah air.
  2. Kerajaan digesa menubuhkan muzium dan arkib hiburan sebagai pangkalan data yang merekod dan menyimpan khazanah seni dan hiburan negara.
  3. Kerajaan disaran mengadakan Akta Pemberian Royalti kepada karyawan dan pelakon filem, televisyen dan pelaku bidang audio visual.
  4. Kerajaan disaran mengadakan ‘Pelan Pembangunan Teater Malaysia’ sehingga menjadikan kegiatan seni persembahan sebagai industri seni yang berwibawa.
  5. Kongres mencadangkan tarikh Hari Seniman dipinda dari 29 Mei setiap tahun kepada 22 Mac setiap tahun.

Resolusi Bidang Perfileman

  1. Kongres mendesak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia melaksanakan perakuan yang terkandung dalam Dasar Perfileman Negara 1997 (DFN 1997), dengan penambahbaikan mengambil kira sesetengah perakuan dalam DFN 2005.
  2. Kerajaan disaran menubuhkan ‘Perbadanan Pawagam’ bagi tujuan membina lebih banyak pawagam sinepleks selain menggalakkan pembinaan pawagam digital oleh syarikat Bumiputra untuk menampung keperluan penonton di samping bersedia dengan perkembangan teknologi sinema masa hadapan.
  3. Kerajaan Negeri diseru memperuntukkan sekurang-kurangnya RM5 juta untuk menerbitkan filem berkaitan sejarah negeri masing-masing.
  4. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia disaran menubuhkan Jawatankuasa atau Badan Perunding Industri Filem bagi mengenal pasti dan merapatkan kerja sama antara kalangan pengamal industri dengan institusi kerajaan dalam merangka dan melaksanakan program berkaitan ‘Pembangunan Filem Nasional’ di Malaysia.
  5. Mencadangkan diwujudkan mekanisme pemantauan penayangan filem di bawah Peraturan Wajib Tayang untuk menentukan objektif peraturan tersebut dapat dicapai dan penambahbaikkan dilakukan.


Resolusi Bidang Media

  1. Menggesa media bukan berbahasa Melayu memainkan peranan lebih aktif dalam memajukan bidang seni hiburan tempatan dengan memberi ruang lebih banyak kepada aktiviti hiburan dan kesenian tempatan, termasuk aktiviti artis dan karyawan bukan Melayu dalam pelbagai bidang.
  2. Mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu garis panduan amalan media.
  3. Menggesa media cetak, elektronik dan siaran melalui media baru menghidupkan bahan hiburan yang boleh mendidik masyarakat, terutama yang boleh meningkatkan seni budaya tempatan.



Resolusi Bidang Muzik

  1. Mencadangkan penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
  2. Mencadangkan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menyokong Persatuan Rakaman Industri Muzik (RIM) dalam usaha meningkatkan nisbah pembahagian pendapatan muat turun ke kadar yang dipohon iaitu 70:30 dari segala pendapatan yang diterima termasuk yuran pendaftaran dan langganan bagi perkhidmatan tersebut.
  3. Memohon Kabinet meluluskan royalti untuk penggunaan lagu-lagu yang dikenakan kepada penyiar (stesen radio dan televisyen) dan tempat persembahan ditingkatkan kepada dua peratus daripada pendapatan pengiklanan penyiar.
  4. Mencadangkan agar kerajaan mengenakan ‘blank media levy’ kepada alat yang boleh merakam audio dan visual (DVD, CDR, MP3, MP4, Hard Disk dan lain-lain).
  5. Mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Tabung Memajukan Muzik dengan objektif memberi geran kepada penerbit-penerbit album baru.
  6. Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia melaksanakan dasar dan strategi pembangunan industri muzik Malaysia yang diluluskan Kabinet pada 21 Disember 2005. Dengan bersungguh-sungguh suatu pelan tindakan lima tahun haru diwujudkan dan dilaksanakan.
  7. Mengiktiraf Majlis Muzik Malaysia sebagai badan induk mengenai industri muzik di Malaysia dan memberi bantuan kewangan (Bajet tahunan) kepada persatuan-persatuan muzik (Badan Bukan Kerajaan) supaya mereka dapat menguruskan persatuan secara profesional.
  8. Majlis Muzik Malaysia bersedia untuk menyediakan dan melengkapkan pangkalan data untuk industri muzik.
  9. Mencadangkan pemansuhan klausa 16A (2) Akta Hak Cipta 1987.
  10. Mencadangkan bahawa acara-acara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia berkaitan dengan kegiatan hiburan diberikan kepada penganjur dan ‘event Organizer’ tempatan.
  11. Kerajaan didesak melibatkan pakar dalam bidang pendidikan muzik dari luar Kementerian Pendidikan untuk membantu perangkaan dasar yang berkaitan dengan pendidikan muzik di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Resolusi Bidang Seni Persembahan

  1. Kerajaan didesak mewujudkan sebuah agensi pembangunan teater Malaysia yang bertanggungjawab dalam melaksanakan program pembangunan, pendidikan dan apresiasi teater tempatan.
  2. Kerajaan didesak mengadakan dana dan peruntukan khusus bagi penerbitan teater tempatan yang digerakkan ke seluruh negara.
(*Nota: Ketika Kongres diadakan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi belum digabungkan dan ditukar namanya seperti sekarang iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

p/s: untuk senarai fakta penuh tentang 26 resolusi ini, sila dapatkan sisipan anda dalam ruangan hiburan Berita Harian, hari ini. - 7 Oktober 2009.

Catat Ulasan

1 Ulasan

fadz berkata…
jawablah kerajaan negeri masing2.. kalau negeri PAS macam mana?