KAHWIN 5 : KOMEDI CARA NIZAM ZAKARIA

Tahun 2012 menyaksikan dua buah filem setahun diarahkan Nizam Zakaria. Pertama, Cinta Kura-Kura (yang ditayangkan pada 1 Mac 2012) dan Kahwin 5 (27 Disember 2012). Kedua-dua filem itu diterbitkan oleh KRU Films dan ShowBiz Production - Kahwin 5. 

'Kahwin 5', dibarisi Usop Wilcha sebagai Dr. K, Dian P.Ramlee, Andrea Abdullah, Norish Karman , Marsha Milan Londoh, Anzalna Nasir, Fizz Fairuz, Shoffi Jikan dan ramai lagi. 'Kahwin 5', diarahkan Nizam Zakaria merupakan sebuah cerita komedi, antara komedi ringan dan bersahaja yang berjaya mengangkat Usop Wilcha sebagai  pelakon lelaki yang cukup berbakat selepas filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. 

'Kahwin 5', sebuah komedi yang klise, tetapi pembikinannya menarik, malahan gabungan para pelakon yang membintanginya, menjadikan ia sebuah naskhah yang cukup menghiburkan. Penampilan Usop Wilcha yang membawakan karektor Dr.K ; seorang usahawan mangkuk tingkat yang berjaya dalam kariernya, beristeri empat dan terperangkap dalam satu kes sehingga memaksakan dirinya untuk berkahwin seorang lagi. Apakah Dr. K berjaya dalam hasutan perkahwinan tersebut?. Semuanya bakal terjawab dalam Kahwin 5. 

Persoalan yang bermain difikiran saya ketika menonton filem ini dari awal hingga akhir ialah apakah karektor Dr. K merujuk kepada personaliti usahawan terkemuka MLM iaitu Dr. Rozmey?, merupakan antara usahawan yang berjaya dalam dunia perniagaannya. Jika tidak dan hanya sekadar cerita rekaan, maafkan saya. 


Nizam Zakaria bercerita secara nakal dalam 'Kahwin 5'. Segala dialog, perilaku, gaya bahasa dan perwatakkan pelakonnya menjurus kepada elemen seksual yang kiranya tidak keterlaluan, malahan dianggap 'komedi' dalam penyampaiannya. Kredit harus diberikan kepada Anzalna Nasir kerana kemunculannya pasti menaikkan berahi para penonton lelaki kerana saya percaya Nizam ada jawapannya kenapa watak Fara diberikan kepada si cantik manis, Anzalna.

Marsha Milan Londoh, Dian P.Ramlee, Anzalna dan Andrea Abdullah, berjaya membawakan watak masing-masing, cuma kejanggalan berlaku pada karektor Norish Karman yang dirasakan agak pelik dan 'tidak jujur' dalam lakonannya. Mungkin itu perwatakkannya dalam filem ini, pasti Nizam tahu kenapa setiap watak itu berbeza kehendaknya. Namun antara banyak watak dalam filem ini, paling tidak digemari ialah watak Shoffi Jikan, yang dirasakan agak sama dengan filem-filem arahan pengarah yang lain. Diharapkan untuk filem akan datang, cuba berikan sesuatu yang menarik dan berbeza.

Membuka tirai 27 Disember 2012 di bawah produksi ShowBiz Production, 'Kahwin 5', antara komedi 'biasa', 'tidak sesuatu' tetapi 'menghiburkan', malahan filem ini memberikan sudut sinematografi yang baik malahan pergerakan shot yang bersahaja, santai dan tidak terlalu seni malahan agak baik dan tidak mengecewakan. Diarahkan Nizam Zakaria, Kahwin 5 kini menyundal di semua pawagam tempatan seluruh Malaysia. 

Tonton hanya di pawagam bukan di rumah anda!.

Catat Ulasan

0 Ulasan