FILEM KERJA KAHWIN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA DI ITALI


Setelah berjaya menembusi pasaran di negara Perancis melalui Tayangan Premier pada 26 Julai 2016 dan ke festival filem antarabangsa ‘One Country One Film’ di Apchat, Perancis pada 30 Julai yang lalu, kini Kota Itali telah menyambut kehadiran sebuah naskhah hebat berjudul 'Kerja Kahwin'. Diarahkan oleh Anwardi Datuk Jamil dan diterbitkan oleh Wayang Pondok Sdn. Bhd dengan sokongan FINAS dan Imagica South East Asia serta kerjasama FELDA, 'Kerja Kahwin' yang mengisahkan seorang cucu perempuan bernama Farah yang dilakonkan oleh Janna Nick memenuhi hasrat neneknya yang dilakonkan oleh Dato’ Rosnani Jamil untuk mengadakan majlis perkahwinan mengikut budaya Melayu di kampung, ini terpilih menyertai Asian Film Festival’ yang telah berlangsung pada 12 Oktober hingga 16 Oktober 2016 di Carpi, Itali. 

Ketika dihubungi media, Dr. Liza Marwati mewakili rakan penerbit Zabir Suliman dan Ammar Atan melahirkan rasa syukur, gembira dan teruja kerana filem pertama mereka ini terpilih untuk ditayangkan di festival yang turut menayangkan beberapa filem hasil karya nama-nama yang agak tersohor dalam industri perfileman seperti Ringo Lam, Christoper Doyle dan Stanley Kwan. 'Kerja Kahwin' merupakan sebuah filem Malaysia yang ditayangkan dalam bentuk 'wayang pacak'.

Catat Ulasan

0 Ulasan