'PULAU' BUKAN FILEM LUCAH, TAPI CERITA SERAM', Fred Chong

Ketika dimaklumkan filem Pulau bakal menerima risiko diharamkan tayangan gara-gara sedutan trailer yang hanya memuatkan 1% petikan babak kontroversi dalam filem tersebut, saya terdiam dan menunggu jikalau filem ini diadakan tayangan khas pada media atau tetamu jemputan. Nyata andaian saya membuahkan hasil apabila mendapat jemputan untuk menyaksikan filem Pulau ini dalam sesi tayangan tertutup bersama media pada 28 Februari yang lalu. 

Pulau yang diarahkan Euho  diterbitkan My Way Pictures dengan kerjasama Film Force, merupakan filem kelima Euho selepas Ge Me Lia (2013), Kungfu Taboo (2015), Find My Dad (2015) dan Nasi Lemak 2.0 (2011). Ketika ditemui media selepas pratonton PULAU di sebuah pawagam terletak di Petaling Jaya, Euho optimis mengatakan Pulau antara filem pertama berbahasa melayu yang diarahkannya.

“Untuk orang Cina seperti saya, tak ada beban untuk arahkan filem sebegini pun. Cuma, saya banyak mengambil nasihat daripada pihak penerbit bagi menyesuaikan dengan kreativiti sebab ini pertama kali saya arahkan filem bahasa Malaysia. Soal kontroversi itu, saya cuma mahu penonton tempatan menonton terlebih dahulu kerana filem ini adalah filem seram, bukannya soft porn seperti yang digembar-gemburkan netizen dalam media sosial", ujar Euho mempertahankan Pulau sebagai naskhah wajib tonton Mac ini. 


Namun menurut Fred, selaku penerbit dan pengasas Web TV Asia , berharap karya terbitannya ini dapat ditonton di seluruh Malaysia kerana apa yang disajikan sedikit berbeza dengan trailer yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Pulau berkisarkan percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil. Konflik tercetus apabila mereka terjumpa sebuah perkampungan terbiar, mereka secara tidak sengaja mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan sumpahan dan semangat jahat yang terperangkap. Akhirnya, mereka menjadi buruan makhluk sihir yang disumpah. 

Membariskan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Sabronzo, Sanjna Suri, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O'Dea, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar, Pulau yang bakal menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula 9 Mac ini sebenarnya menerima 10 potongan dari Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ketika ditemui media selepas sesi tayangan tertutup filem tersebut, Fred Chong menegaskan sebanyak 10 pemotongan telah dibuat oleh LPF, ini merupakan pemotongan terkini mereka terhadap naskhah arahan Euho ini. Walaupun dikatakan filem lucah oleh segelintir pihak, namun Fred optimis mahu masyarakat menonton terlebih dahulu sebelum membuat andaian atau pandangan terhadap filem Pulau. 


Mengulas berhubung kualiti filem selepas pemotongan, Fred beranggapan apa yang dipersembahkan buat penonton adalah mengikut versi terbaik pihak penerbit dan pengarah. Jelasnya, pihaknya akur dengan keputusan LPF mengenai klasifikasi P13 terhadap filem ini, tetapi jika ditanya mengenai kreativiti pula, sudah tentu pengarah mempunyai director's cut tersendiri. Namun jelas Fred lagi, Pulau juga bakal menemui penonton di Singapura menerusi versi director's cut tanpa potongan dan Brunei pula memaklumkan lagi banyak adegan yang terpaksa dipotong. Tambah Fred, kami perlu akur dengan undang-undang penapisan sesebuah negara dan berharap Pulau berjaya mengutip RM7 juta di Malaysia seperti yang disasarkan Fred agar dapat menembusi pecah rekod filem terbitannya terdahulu, Nasi Lemak 2.0

Bercakap mengenai pengharaman Pulau di negeri Terengganu, pihaknya telahpun mengemukakan surat rayuan kepada kerajaan negeri dan berharap filem Pulau dapat ditayangkan di sana namun menurut Fred, pihak mereka bersedia sekiranya perlu ke Terengganu untuk menayangkan Pulau terlebih dahulu kepada kerajaan negeri. 


Pulau yang diarahkan Euho akan menemui penonton dan peminat filem di Malaysia bermula 9 Mac ini. 

Catat Ulasan

0 Ulasan