KUGIRAN MASDO BAKAL GAMATKAN DEWAN FILHARMONIK PETRONAS, KLCC, 22 JULAI INI

Menjadikan The Beatles sebagai inspirasi bagi membawa Masdo melangkah ke persada dunia, kumpulan yang dianggotai 5 orang anak muda ini bakal menggegarkan industri muzik tanah air melalui konsert perdananya di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.  Bakal berlangsung pada 22 Julai depan, Masdo yang popular dengan rangkaian lagu-lagu berentak 60-an ini, dijangka akan menghiburkan peminat menerusi kira-kira 15 buah lagu popular mereka dalam bentuk akustik. 

Melihat sambutan peminat agak luar biasa menerusi persembahan mereka dalam siri konsert yang pernah diadakan di lokasi lain sebelum ini, Masdo mahu peminat muzik merasai pengalaman sebenar melalui konsert mereka  pada 22 Julai ini di sebuah dewan bertaraf antarabangsa. 

Ketika ditemui media baru-baru ini, Ali Sariah yang merupakan vokalis Masdo menyifatkan persembahan yang bakal berlangsung lagi 20 hari itu akan menyajikan persembahan luar biasa yang mungkin tidak ada dalam siri persembahan mereka sebelum ini. Ali berkata, beliau dan Masdo sangat terharu ketika dipilih untuk membuat persembahan di sini. 

"Kami cukup terharu sedikit teruja ketika dihubungi DFP (Dewan Filharmonik Petronas) untuk membuat persembahan di sini. Sebelum ini kami hanya datang sebagai penonton dan berangan-anganlah untuk membuat persembahan di sini. Walaupun merasai agak kerdil dengan tawaran ini, saya percaya kami boleh lakukan yang terbaik untuk menghiburkan kalian.

"Dari segi pemilihan lagu dan kelainan yang dibawa, kami masih lagi mencari dan memikirkan apakah konsep yang relevan dengan akustik akan kami tampilkan. Sebagai peminat muzik, kami mahu memberikan yang terbaik untuk semua generasi. Bagi mereka yang tidak suka bersesak dan  mahu hiburan secara santai kena datang menyaksikan Masdo membuat persembahan di sini,". kata Ali penuh teruja. 


Album Fizikal

Ketika diajukan tentang penerbitan album fizikal yang pernah dihasilkan Masdo menerusi Selamat Tinggal Pujaan (2017) dan Jalan Abbey (2020), Putu Ceri yang merupakan pemuzik Masdo berkata, mereka tetap akan menerbitkan album fizikal walaupun industri muzik hari ini ke arah format digital sepenuhnya. 

"Perancangan untuk menerbitkan piring hitam dari album pertama Masdo, Selamat Tinggal Pujaan memang dalam rangka strategi Masdo. Kami pernah mengeluarkan album Jalan Abbey dalam format CD dan piring hitam sekitar tahun 2020 dan sambutan peminat agak menggalakkan. Cuma untuk menghasilkan album seterusnya, kita memerlukan perancangan yang lebih teliti agar semua pihak berpuas hati dengan apa yang kita tampilkan. Kami tidak mahu menghasilkan secara tergesa-gesa," katanya kepada Wajib Tonton.

Walaupun sudah mengeluarkan dua buah album, Kugiran Masdo antara kumpulan muzik popular di Malaysia, juga Indonesia yang telah ditubuhkan pada tahun 2015. Penubuhan Masdo diinspirasikan dari filem  arahan Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, Do Re Mi manakala muzik mereka banyak dipengaruhi oleh kugiran era 1960an seperti A Ramlie & The Rhythm Boys, The Siglap Five dan The Wonders, serta era tahun 2000an seperti The Last Shadow Puppets dan The Changcuters.

Pernah melebarkan sayapnya ke Singapura melalui konsert di The Esplanade dan The Star Theatre dan Indonesia, melalui siri konsert jelajah ke Bandung, Bekasi dan Jakarta, serta persembahan di Wonogiri Festival, Kugiran Masdo bakal mencatat satu lagi sejarah dalam profil seni mereka di mana pada 22 Julai depan, Masdo bakal membuat  persembahan eksklusif mereka dalam gubahan simfoni dan akustika dengan memberi penekanan kepada alat-alat muzik bertali (strings section). 


Bakal membawakan 15 pemuzik professional, Konsert Kugiran Masdo yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 22 Julai 2023, 8.30 malam itu boleh dibeli tiket di sini. Tiket-tiket berharga serendah RM169 hingga RM349 kini menanti pemiliknya.

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan