Filem 'Tiger Stripes' yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 19 Oktober lalu, telah banyak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata pengarahnya. Amanda Nell Eu dalam satu kenyataan kepada media meluahkan kekecewaannya terhadap pemotongan beberapa adegan, dan berkata sehingga ke tahap ini filem itu bukanlah produk yang sama memenangi Hadiah Utama Cannes Critics Week pada bulan Mei lalu.
Bukan bertujuan untuk menyelar tanpa usul periksa, Amanda Nell Eu berpendapat ‘Tiger Stripes’ yang ditayangkan hanya di pawagam tertentu di Malaysia sejak semalam itu bukanlah filem asal yang menyertai Anugerah Akademi Oscar ke-96, dalam kategori filem Cereka Antarabangsa Terbaik.
Tiger Stripes’ mengisahkan tentang Zaffan yang berusia 12 tahun (lakonan Zafreen Zairizal) ketika dia bergelut untuk memahami tubuhnya yang sedang akil baligh. Diprovokasi oleh komunitinya, dia kemudiannya menyedari bahawa menerima hakikat diri sebenar adalah satu-satunya jawapan kepada kebebasannya. Filem ini adalah penerbitan bersama antara lapan negara termasuk Malaysia, Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda, Indonesia dan Qatar.
Amanda berharap suatu hari nanti filem-filem yang ditayangkan di pawagam tempatan dapat ditonton karya asalnya oleh peminat filem termasuk beberapa adegan penting bagi menggambarkan cerita dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Menurutnya, LPF telah merosakkan reputasi karya asalnya yang menyertai Akademi Oscar ke-96.
Sebagai sebuah badan yang menyokong industri kandungan kreatif dan perfileman tanah air, Kementerian Komunikasi & Digital (KKD) melihat ‘Tiger Stripes’ sebagai sebuah karya filem yang wajar dibanggakan, namun isu pemotongan beberapa babak dalam filem ini bukannya dibawah bidang kuasa kementeriannya dan ia haruslah merujuk kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri. Menterinya, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata 'Tiger Stripes' telah dipilih secara rasmi bagi mewakili Malaysia ke Oscar menjelang Mac tahun hadapan.
0 Ulasan