INI ERA NADHIR NASAR


"KAU BUKAN LAWAN AKU." Antara bait dialog watak Tahir yang dipetik dari Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang mula ditayangkan pada 11 Januari 2024. Bagi pendapat kami di Wajib Tonton yang sudah menonton filem Pendekar Awang ini, selain daripada pelakon-pelakon terkenal yang sudah terbukti kehebatan dalam lakonan masing masing ini, antara watak yang perlu diberi perhatian ialah watak Tahir lakonan Nadhir Nasar. Ini adalah lakonan pertama Nadhir Nasar di layar filem dan sekaligus membuktikan kebolehannya menghidupkan apa jua watak yang diberikan kepadanya. 

Selain Nadhir Nasar, Filem Pendekar Awang juga menampilkan Fattah Amin sebagai Awang, Fazura sebagai Sayang, Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah, Ali Karimi sebagai Berahim, Amir Ahnaf sebagai Andak, Ameerul Affendi sebagai Tobah dan ramai lagi. Filem ini bukan sahaja mengangkat martabat Melayu dan Islam namun juga mengangkat wanita sebagai srikandi yang mahu sama-sama menewaskan pihak British. 


Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah terbitan Studio Kembara adalah sebuah filem 'spin off' dari Filem Mat Kilau. Pendekar Awang mengisahkan tentang perjalanan Tok Gajah yang ingin ke Terengganu demi mendapatkan sokongan Sultan dan pahlawan Melayu di Terengganu. Pihak British yang mendapat tahu akan hasrat Tok Gajah mahu melupuhkan perjalanan itu supaya dapat menguasai Tanah Melayu. Demi menjaga keselamatan Tanah Pahang, Awang perlu memastikan Tok Gajah pergi ke Terengganu dengan selamat. Walaubagaimanapun, pelbagai rintangan dan pertempuran terpaksa dihadapi oleh Awang terutama apabila pihak British dan tali barut mereka mula menyerang keluarga Awang. Berjayakah Tok Gajah ke Terengganu untuk berjumpa Sultan? Berjayakah pihak British menghentikan usaha Awang dan pengikutnya? saksikan Pendekar Awang : Darah Indera Gajah di pawagam sekarang. 



TENTANG NADHIR

Rezeki Ahmad Nadhir Ahmad Nasar atau Nadhir Nasar tidak berhenti setakat menjadi juara rancangan Hero Remaja tahun 2020. Nadhir membintangi pelbagai produksi Drama dan kini Filem. Projek terbaru Nadhir adalah filem Klepet lakonannya bersama Aedy Ashraff dan juga Merqeen. Nadhir juga menjadi Duta beberapa Jenama terkenal. Nadhir dilihat amat berhati-hati dalam setiap naskah lakonan yang dipilihnya. Dalam temubual bersama Nadhir sebelum ini, Nadhir tidak mahu melakonkan watak utama di dalam drama mahupun filem kerana belum bersedia memikul tanggungjawab itu. Namun, walaupun tidak mengalas tanggungjawab sebagai pelakon utama, watak-watak yang dibawa oleh Nadhir Nasar sentiasa memberi impak kepada industri dan membuatkan dirinya semakin diminati dan sentiasa diintai oleh syarikat produksi di Malaysia. Bagi Nadhir sebagai anak seni, inilah sedikit sebanyak sumbangan yang boleh beliau beri kepada industri tempatan kini. 


Setelah berjaya membawakan watak 'Syafiq Rider' di dalam drama Astro Originals i-Tanggang,  nama Nadhir mula menjadi bualan di bibir penonton dan namanya semakin lama semakin mendapat tempat di dalam Industri. Selepas itu, sebut sahaja Nadhir Nasar di dalam mana - mana cereka, pasti naskah itu akan menjadi hit. lihat sahaja apa yang berlaku dalam siri yang mencetuskan fenomena "Projek High Council". Setiap watak yang dibawakan oleh Nadhir pasti meninggalkan kesan dan kerana itu juga Nadhir sentiasa mahu mencuba pelbagai watak dan tidak terikat dengan satu genre sahaja apabila memilih naskah. Jarang dan boleh dikatakan tidak pernah terlibat dengan mana-mana kontrovesi, Nadhir inginkan namanya terus menjadi bualan bersandarkan bakatnya sebagai insan seni. 


CABAR DIRI UNTUK WATAK TAHIR


Nadhir mengatakan kepada Media, pihak produksi Studio Kembara mahukannya turut serta dalam filem ini sejak bulan 9 tahun 2022. Sebelum tercetus fenomena Projek High Council lagi, Pada mulanya, beliau masih belum bersedia lagi menerima tawaran filem apatah lagi sebuah filem dari francais Mat Kilau. Tetapi, setelah Nadhir meneliti skrip dan latar Studio Kembara, Nadhir menyukainya membuatkan Nadhir bersedia dan akhirnya  bersetuju untuk membawakan watak Tahir. "Saya terus ambil disebabkan ada unsur unsur mempertingkatkan dan juga memperkukuhkan semangat patriotisme, agama, bangsa dan negara. I had to do it, Itu adalah salah satu tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk menceritakan kisah unsung hero yang tidak pernah diceritakan" ujarnya. Nadhir juga bersetuju membawakan watak dari filem Epik ini untuk generasi kini yang tidak begitu terdedah kepada cerita-cerita atau filem berkenaan sejarah.


"Saya dibesarkan dengan kisah-kisah sejarah yang diceritakan oleh ayah saya,  menonton filem-filem aksi dan saya juga ingin mengetengahkan seni silat ini walaupun tidak banyak".  Kesemua babak aksi di dalam filem Pendekar Awang ini diajar di set penggambaran oleh pengarah aksi Shaiful Reza dan juga sebelum penggambaran yang dilatih oleh Andy teh.  


Dikatakan watak Tahir ini lebih menonjol dari watak utama Awang yang dilakonkan oleh Fattah Amin. Pada pendapat Nadhir, semuanya terpulang kepada penerimaan penonton. "Sejujurnya, kekuatan saya dalam filem ini ialah Fattah Amin." Ujar Nadhir yang teruja apabila pertama kali bertemu Fattah Amin dan setelah beberapa kali berbincang dan berbual, mereka berdua serasi di set dan juga dibelakang tabir. Baginya, tiada istilah lakonan Nadhir 'Overshadow' Fattah Amin atau sebaliknya. "Every team needs a Hero and Every Hero needs a team. Saya perlukan Fattah dalam satu frame, dan Fattah perlukan saya, untuk 'merasakan' lagi cerita itu. masing-masing ada peranan dan kekuatan masing-masing". 


Di dalam filem Pendekar Awang, watak Tahir perlu menggunakan beberapa sejata buatannya sendiri dan juga senjata lain, Nadhir memberitahu beliau tidak begitu kekok namun sebagai seorang pelakon beliau harus bersedia menjadi watak yang bukan dirinya yang sebenar. Ada beberapa babak yang sepatutnya dilakukan oleh pelakon lagak ngeri tetapi oleh kerana Nadhir mahu melakukannya sendiri, beliau sanggup lakukan babak ngeri itu sendiri. "Saya mengidolakan Beto Kusyairy, saya selalu bertanyakan kepadanya tentang apa babak yang perlu saya buat, dan dengan apa yang saya lihat dia lakukan di set, saya mencabar diri saya untuk melakukan lagak ngeri itu sendiri". ujarnya yang puas dengan watak Tahir. 


Apabila penulis skrip dan juga pengarah En Shaharudin membayangkan watak Tahir itu kepada Nadhir Nasar, En Shaharudin memberitahunya Tahir ini tidak begitu mempunyai asas seni silat mempertahankan diri, tetapi Tahir ini adalah seorang yang gemar bermain dengan sains. Nadhir berkata "Saya suka idea untuk mempertahankan diri, kita bukan sahaja perlu menggunakan fizikal kita tapi juga dari segi mental dan juga dari segi akal. Dan untuk mengetengahkan Tahir yang menggunakan ilmu sains dan ilmu moden pada ketika itu saya harus mengetengahkan Tahir yang mahir membuatkan bom sendiri seperti mana yang kita belajar berkenaan ilmu sains dan ibnu sina, tokoh-tokoh Islam yang menggunakan sains bukan sahaja dalam peperangan tetapi untuk berlawan".


Seperti biasa di dalam setiap karya Nadhir Nasar, Beliau akan meletakkan 70% watak yang dimainkan dan 30% adalah dirinya yang sebenar. Apa yang dilakukan Nadhir adalah supaya setiap karyanya akan memberikan 'trademark' atau 'signature movement' bahawa ini adalah 'Nadhir Nasar'. begitulah yang berlaku untuk watak Tahir di dalam filem Epik Pendekar Awang, apa yang kita nampak pada watak Tahir, 30% daripadanya adalah Nadhir Nasar yang sebenar. 

Jangan lupa untuk menonton Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di pawagam -pawagam berdekatan anda bermula 11 Januari 2024. Saksikan Treler filem ini di bawah. 








Catat Ulasan

0 Ulasan