BERJAYA MENGUTIP RM13.5 JUTA, ABANG ADIK LUAR BIASA

Walaupun masih baharu bergelar sutradara sehingga berjaya mengarahkan filem cereka pertamanya berjudul Abang Adik, Jin Ong yang mempunyai latar belakang perfileman menerusi beberapa buah karya filem terdahulunya sebagai penerbit antaranya Shuttle Life (2017), The Paradise (2019), In My Heart (2020), Miss Andy (2020), Girls, Be Ambitious! (2022) dan See You At The Rally (2023) mungkin boleh berbangga apabila Abang Adik (2023) berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila filem tersebut memecah rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan sebanyak NT$90mil (RM13.5 juta) dalam tempoh tiga minggu tayangan.

Ini menjadikan Abang Adik antara filem tempatan pertama yang mencatat rekod sebagai karya Malaysia terlaris di mata dunia. Berita gembira itu diraikan dalam sebuah majlis tertutup yang di adakan di Pawagam GSC Lalaport, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Namun filem yang menampilkan gandingan mantap antara Jack Tan (Malaysia) dan Wu Kang Ren (Taiwan) itu juga menambat hati penonton tempatan apabila berjaya memperolehi kutipan RM 5.2 juta setakat 24 hari tayangan di beberapa pawagam tanah air.

Sepanjang ditayangkan di beberapa festival luar negara, Abang Adik sudah menerima pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali pada April tahun lalu.

Sehubungan itu, Jin Ong melahirkan rasa teruja dan tidak menyangka Abang Adik berjaya memecah rekod dengan meraih kutipan tertinggi di negara luar di samping membawa pulang pelbagai anugerah antaranya Filem Cereka Terbaik di Golden Mulberry dan Anugerah White Mulberry pada April lalu. 

"Kami cukup terharu dengan sambutan yang menggalakkan dari Malaysia juga di Taiwan. Sejujurnya saya berterima kasih buat seluruh team produksi, pelakon dan semua yang terlibat bagi merealisasikan Abang Adik sehingga berjaya sampai ke tahap ini.

"Dengan penerimaan penonton terhadap cerita ini, saya berharap penonton tempatan kita juga menyokong karya tempatan lain dan terus menyemarakkan filem Malaysia agar dapat disebar meluas dan tentunya sebagai pengkarya saya belum berpuas dan masih belajar untuk menjadi yang terbaik," katanya dalam satu Majlis Penghargaan Abang Adik yang diadakan di GSC Lalaport Bukit Bintang.

Mengangkat kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren, Abang Adik tidak memerlukan lebih daripada keaslian dan keunikan naratifnya untuk dijulang dalam pelbagai festival filem dan anugerah di seluruh dunia.

Abang Adik juga telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton apabila menyifatkan naskhah ini sebagai paling asli, mengangkat realiti perih hidup dengan baik, tidak klise malah tidak sedikit yang mengaku gagal menahan emosi termasuk mengalirkan air mata sepanjang menonton filem ini. Dan respons-respons positif yang diciapkan dalam platform media sosial bukan hanya ‘tin kosong’. Sebagai bukti, Abang Adik menuai kejayaan dan kutipan tiket luar biasa sepanjang ditayangkan.

Ketika ditemui media di GSC Lalaport, Bukit Bintang, Dato' Kamil Othman, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata, Abang Adik sebuah naskhah yang sangat baik dalam menyampaikan naratif cerita yang begitu dekat dengan penonton tempatan dan sebagai peminat filem, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menonton filem ini yang masih berbaki tayangannya di pawagam.


"Secara peribadi, saya kagum dengan pembikinan filem ini. Abang Adik membuka jalan kepada penerimaan penonton terhadap karya yang lebih baik. Ia dekat dengan jiwa malahan diakui filem ini mampu merentap jiwa dan antara filem terbaik dalam industri filem tempatan," katanya. 

Abang Adik yang berkisarkan kehidupan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan di Kota Metropolitan Kuala Lumpur dengan penuh kemiskinan ini dirakamkan di sebuah kawasan yang terkenal dengan Pasar Basah di Pudu, Kuala Lumpur. Pelbagai peristiwa dan kejadian menyentuh perasaan ini menjadikan Abang Adik sebagai sebuah filem tempatan yang begitu dekat dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Atas sebab itulah, Wu Kang Ren, pelakon terkenal dari Taiwan yang memegang watak Abang ini merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-60 di Taipei, Taiwan pada 25 November yang lalu.

Abang Adik sedang ditayangkan di beberapa pawagam tempatan sejak 14 Disember lalu. 

Catat Ulasan

0 Ulasan