Ramai tidak menyangka lagu raya malar segar, Bersama Di Hari Raya dialunkan penyanyi bukan Melayu, apatah lagi, mendengar sebutan bahasa Melayu dalam single yang dihasilkan pada 1985 itu, bagai tiada cacat celanya.
Mengimbau sejarah, pada era 1980-an, keupayaan penyanyi bukan Melayu menempa nama dalam industri muzik melalui lagu Melayu, bukanlah sesuatu yang asing. Ramai bintang bukan Melayu mencipta kejayaan seperti vokalis kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam dan Datuk Francissca Peter.
Seperti rakan lain, duo berbangsa India yang menggelarkan diri mereka Cenderawaih, iaitu dua beradik, Helen Savari, 62, dan Irene Savari, 61, mengakui peluang mencipta nama sebagai penyanyi rakaman adalah satu penghargaan besar, apatah lagi, ramai memuji penguasaan bahasa Melayu mereka.
Irene yang kini bertugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) International College of Music (ICOM), Setapak, Kuala Lumpur, berkata mereka membesar dalam kalangan masyarakat Melayu, justeru tiada masalah bertutur dalam bahasa itu dengan baik.
"Pada era 1980-an, ada ramai artis bukan Melayu menyanyi dalam bahasa Melayu seperti Alleycats, Roy, Francissca Peter dan ramai lagi. Bagi saya, era 1980-an adalah tahun kegemilangan kami.
"Kami pula belajar dalam aliran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), jadi tiada masalah untuk kami bertutur atau menyanyi dalam bahasa Melayu. Ketika kami bekerja di kelab malam, kami menyanyi dalam 13 bahasa berbeza iaitu Melayu, Mandarin, Kantonis, Jepun, Tamil, Hindi, Korea dan sebagainya," katanya.
Helen yang menetap di Switzerland mengikut suaminya, Fritz Renold sejak 1990, memberitahu, mereka tidak pernah melihat bahasa sebagai kekangan dalam berkomunikasi atau nyanyian.
"Kami dikenali sebagai rakyat Malaysia. Kami ke sekolah awam di Malaysia yang mana bahasa Malaysia menjadi bahasa utama di sekolah. jadi, kerana fasih dalam bahasa Malaysia sejak kecil, kami selesa menyanyi dalam bahasa Malaysia," katanya.
Helen terharu lagu Bersama Di Hari Raya yang dirakam bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, kembali melonjak popular di paltform media sosial.
Helen yang bergiat sebagai penerbit berkata, mereka seronok melihat single Bersama Di Hari Raya menjadi antara lagu wajib dimainkan setiap kali menjelang Aidilfitri. Bagi mereka, ini membuktikan keistimewaan lagi itu yang bertahan merentas generasi.
"Saya sangat terkejut kerana lagu Bersama Di Hari Raya masih diterima dengan baik. Kami amat merendah diri dan berterima kasih atas fenomena ini.
"Mungkin kerana kesederhanaan lagu, alur dan lirik yang boleh dikaitkan dengan semua orang yang meraikan hari perayaan itu dapat menjadikan single berkenaan malar segar," katanya.
Berikutan sambutan positif terhadap Bersama Di Hari Raya, Helen tidak menolak kembali berganding bersama Irene, namun, belum ada kesempatan.
"Saya ada keinginan itu, sudah tentu. Jika saya berada di tanah air sejak 35 tahun lalu, saya pasti ada peluang untuk saya menyanyikan lagu itu di atas pentas sebagai Cenderawasih.
"Ketika kami masih menyanyi sebelum ini, kami beri 100 peratus ketika membuat persembahan pentas. Bagaimanapun sekarang, saya perlu utamakan tanggungjawab sebagai penerbit muzik dan penganjur festival muzik, selain menjadi ibu kepada tiga anak," katanya.
Irene mengakui mereka banyak menerima pertanyaan untuk kembali berganding di pentas, namun disebabkan Helen menetap di Switzerland, perancangan agak terbatas,
"Kami mempersembahkan lagu Bersama Di Hari Raya berkali-kali pada 1980-an. Baru-baru ini, kami menyanyikan secara langsung untuk satu temu bual televisyen (TV).
"Namun, disebabkan Helen menetap di Switzerland dan saya di Kuala Lumpur sejak Cenderawasih dibubarkan pada 1990, kami tiada rancangan untuk mementaskan konsert. Namun, siapa tahu, suatu hari nanti kami mungkin melakukannya.
"Barangkali, jika kakak saya, Helen ada masa lapang tahun ini, ada kemungkinan kami akan keluarkan single. Itu pun jika peminat kami masih mahu mendengar kami menyanyi lagi,' katanya.
Mengulas lanjut mengenai lagu raya malar segar itu, Irene berkata, Bersama Di Hari Raya yang dilancarkan pada 1985, digubah Syed Haron dari segi muzik dan lirik. Lagu itu dimuatkan dalam album Kompilasi Hari Raya, terbitan Allahyarham S. Atan untuk EMI.
"Apabila kami diberi lagu itu untuk dinyanyikan di studio, kami tidak tahu ia akan menjadi lagu malar segar walaupun selepas 40 tahun.
"Lagu itu menjadi malar segar mungkin kerana ringkas, ada melodi yang merdu, rentak santai, lirik yang bermakna dan mungkin juga faktor gabungan vokal kami yang harmoni," katanya.
Selepas tamat pengajian dari Berklee College of Music, Irene mengendalikan studio produksi muzik sendiri sebelum diundang mengasaskan kolej muzik kontemporari swasta pertama di Malaysia, International College of Music (ICOM).
"ICOM adalah kolej rakan kongsi Berklee dan kami menawarkan kursus diploma muzik dan dalam produksi bunyi. Saya tidak menyanyi secara profesional lagi kerana sibuk dengan pengurusan ICOM sebagai Presiden dan CEO," katanya.
Irena dan Helen memulakan pengajian mereka dalam bidang muzik pada usia mereka 11 tahun dan 12 tahun. Mereka bermula belajar gitar dan piano.
Mereka mengambil bahagian dalam banyak pertunjukan bakat dan pertandingan sejak sekolah rendah. Selepas menamatkan sekolah menengah masing-masing menguasai piano sambil mengikuti latihan vokal opera dan belajar bermain organ elektronik.
Tidak lama kemudian, keinginan untuk mula mengadakan persembahan secara profesional membuatkan mereka mengumpul pelbagai lagu beraneka bahasa. Mereka menamakan diri mereka The Phoenix dan membuat persembahan pertama di kelab malam pada 1982.
Melonjak popular, Cenderawasih mendapat banyak tawaran menjayakan persembahan di kelab malam dan hotel bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Mereka kemudian menandatangani kontrak bersama EMI pada 1983 dan dinasihatkan untuk menukar nama kumpulan kepada Cenderawasih.
Selepas mempunyai lebih 600 lagu dalam 13 bahasa yang berbeza, duo yang diuruskan oleh ibu, Nalini Savari , menerima sambutan meluas. Mereka diundang menjayakan persembahan di radio dan TV serata Malaysia dan turut dijemput membuat persembahan di stesen TV kebangsaan AI India pada 1983.
Cenderawasih memiliki banyak lagu popular, termasuk Deritamu Deritaku yang dikeluarkan pada 1984. Sepanjang karier mereka, graduan dalam pendidikan muzik di Berklee College of Music ini mempunyai tiga album.
Pada 1984 Cenderawasih merakamkan album debut Bahasa Melayu bertajuk Sepanjang Perjalanan ini. Album itu turut mencatat jualan yang memberangsangkan apabila meraih plak emas dan single Deritamu Deritaku ciptaan Allahyarham Datuk S. Atan kekal di tangga kedua dalam carta Top 10 selama lapan minggu.
Pada 1985, Cenderawasih merakamkan album kedua, Cenderawasih Volume II dan meraih plak Perak. Mereka juga dipilih mewakili Malaysia ke Frankfurt, Jerman untuk membuat persembahan. Duo itu juga diundang menyertai Mid Summer Night Festival di Sundswall, Sweden.
Helen dan Irene kemudian memilih menyambung pengajian di Berklee College of Music, Boston pada 1986. Helen menamatkam pengajian dalam bidang Komposisi dan Susunan Jazz dan Irene pula menamatkan pengajian dalam bidang Pengaturan Komersial pada 1988.
Pada 1986, Cenderawasih kembali ke Malaysia dan merakamkan album ketiga, Cenderawasih Volume III yang meraih plak Perak. Bagaimanapun Cenderawasih dibubarkan pada 1990, apabila Helen memutuskan untuk mengikut suami menetap di Switzerland.
Artikel pilihan ini dipetik dari Berita Harian, tulisan Fatin Farhana Ariffin.
0 Ulasan