Walaupun dilihat agak klise pada kebiasaannya, namun perjalanan naskhah pertama arahan Amor Rizan ini nyata mengundang perspektif yang berbeza. Amor yang sebelum ini pernah mengarahkan beberapa buah drama dan telefilem untuk siaran di kaca tv seperti Misteri Mona, Hilang Yang Kembali, Sesegar Nailofar, Serpihan Sayang, Terlerai Nokhtah dan sebagainya merupakan antara pengarah muda yang mencipta populariti sebagai sutradara menerusi karya bersifat psiko thriller.
Jemputan Ke Neraka terbitan An Universal merupakan naskhah sulung arahan Amor Rizan yang kini sudah seminggu berada di pawagam tanah air bermula 22 Jun lepas. Filem yang mengisahkan dendam tidak berkesudahan ini merungkai sebuah kisah tentang tiga pasangan yang diundang ke sebuah majlis perkahwinan. Kunjungan mereka ke sebuah villa yang terletak di tengah hutan telah memerangkap Lokman, Ivy, Adam, Rania, Fiq dan Sofea ke satu tragedi yang akhirnya berjaya membongkar misteri pembunuhan Salina yang dibuli semasa sekolah.
Pembukaan naskhah Amor ini menerusi paparan di sebuah balai polis dengan kemunculan seorang wanita misteri lakonan Aleza Shadan kemudian beralih kepada kad jemputan yang dibuka tertera nama Lisa Henderson dengan sebuah potret kelihatan Ivy lakonan Janna Nick sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa antara Ivy, Salina dan wanita misteri itu mempunyai kaitan antara satu sama lain. Penonton yang memahami teknik sebegini akan faham perjalanan naskhah ini yang boleh dikategorikan sebagai psiko thriller walaupun jalan ceritanya nampak biasa namun garapannya cukup rencah sehingga durasi 1 jam 45 minit tidak disedari malahan ia berjaya membuatkan penonton tidak berganjak dari kerusi bagi menyaksikan kesudahan naskhah arahan Amor Rizan ini.
Sebaik sahaja kelibat seorang wanita misteri berhadapan dengan seorang pegawai polis wanita di dalam filem ini, sesekali saya berimaginasi bahawa watak pegawai polis itu diberikan kepada seorang seniwati filem melayu tersohor, Noor Kumalasari yang pernah memegang peranan seorang inspektor polis dalam filem Bayangan Maut tahun 1991, mungkin ia akan menjadi sebuah filem yang istimewa walaupun hanya sekadar cameo, namun Jemputan Ke Neraka tidak boleh dikatakan sebagai sebuah filem seram semata-mata, namun garapan Amor cukup mengujakan malahan filem yang menampilkan Janna Nick, Aleza Shadan, Hafreez Adam, Sharifah Sakinah, Nick Syaf, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Wafariena, Jasper Supayah, dan Alif Hadi ini boleh dikatakan sebagai naskhah wajib tonton pada tahun 2023.
Peminat genre sebegini mungkin akan menyukai filem ini, tetapi bagi mereka yang hanya sekadar menonton bagi tujuan hiburan, mungkin akan meresahkan. Saya cukup menyukai elemen dark atau silhoutte dalam filem ini. Paparan gelap dengan wajah yang samar-samar menerusi watak-watak yang terperangkap dalam villa ini sebenarnya menunjukkan yang bersalah akan menerima nasib malang.
Kehebatan Amor bukan sahaja dapat dilihat menerusi garapan ceritanya, malahan plot dalam filem ini disusun dengan baik sekaligus menjadikan naskhah filem Jemputan Ke Neraka ini boleh diletakkan sebagai saingan terdekat bagi Harum Malam, sebuah karya Dain Said. Ketika menjawab pertanyaan media semasa Tayangan Perdana bagi Filem Jemputan Ke Neraka baru-baru ini, Amor Rizan mengakui bahawa dia bukan menghalalkan apa yang telah berlaku menerusi paparan dendam yang cuba memberi persepsi bahawa 'yang jahat harus dibunuh', tetapi apa yang cuba digambarkan itu adalah keadilan yang tidak harus dipertikaikan.
Walaupun menghidangkan plot twist yang tidak dijangka penonton, namun filem ini cuba memberikan dimensi bahawa ia sebuah naskhah yang mencabar minda dengan paparan syot dan visual yang bukan dihasilkan sebarangan, tetapi mempunyai kewibawaan yang kuat untuk diterjemahkan. Menghasilkan filem bukan semudah yang disangka, ia suatu pengorbanan yang perlu mengambil kira pelbagai sudut, Jemputan Ke Neraka sebuah naskhah kecil berjiwa besar dan sebagai peminat filem harus memberikan peluang untuk karya ini bernafas di pawagam. Tonton dengan keterbukaan, tentu anda akan menemui apa yang dicari, walaupun ia hanya sekadar sebuah cerita rekaan atau inspirasi dari sebuah kisah benar.
Diterbitkan oleh Anne Ngasri menerusi produksi An Universal, Jemputan Ke Neraka ditayangkan di 70 buah pawagam tanah air dengan kos pembikinan lebih RM1 juta. Darling Ngasri selaku Penerbit Eksekutif bagi filem ini menyifatkan Jemputan Ke Neraka sebagai sebuah filem yang sukar dihasilkan. Menurutnya, "skrip bagi naskhah ini sudah lama siap sedekad yang lalu, namun untuk merealisasikannya kita memerlukan lebih masa dan perancangan untuk diterbitkan. Dalam hal ini, Amor Rizan memberikan yang terbaik dan saya suka bekerja dengan mereka dan jika diberi peluang saya mahu terus bekerjasama lagi," katanya.
Rating : 4/5 wajibtonton
Amy Ikram by wajib tonton
0 Ulasan