RATU JAZZ NEGARA, SHEILA MAJID BAWA BIG BAND KE SABAH

Selepas kejayaan konsert terdahulu di Kuala Lumpur, Ratu Jazz Negara, Dato' Sheila Majid sekali lagi bakal mencipta fenomena menerusi Sheila Majid Big Band Live in Kota Kinabalu, Sabah. Konsert yang dianjurkan oleh Firm Horizon Sdn. Bhd dan Al Activators itu memilih 12 Ogos depan sebagai tarikh keramat bagi membawakan penyanyi kesayangan ramai itu ke Sabah. 

Pelantun suara Pengemis Muda dan Sinaran itu, Dato' Sheila Majid menganggap konsert yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah ini sebagai sebuah persembahan eksklusif yang sedikit berbeza dengan konsert yang diadakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu. 

"Saya menyahut cabaran peminat dan penganjur apabila ditawarkan untuk mengadakan konsert yang sama di Kota Kinabalu, Sabah. Walaupun konsep Big Band itu sangat berbeza, namun saya tidak menolak kemungkinan sekiranya ia diadakan di luar Kuala Lumpur. Terima kasih buat anda, peminat saya yang terus menyokong saya dan tidak pernah terhenti untuk mendengarkan karya-karya saya," ujar Dato' Sheila Majid ketika ditemui media di Hyatt Centric, Kota Kinabalu Sabah.

Sheila, 58, yang bakal menghiburkan peminat dengan seleksi lagu-lagu terbaik dari album Dimensi Baru (1985), Emosi (1986), Warna (1988), Legenda (1990), Ratu (1996), Ku Mohon (1999), Cinta Kita (2004), dan Boneka (2017), ini khabarnya akan membawa penonton menyelami suka duka perjalanan hampir 4 dekad seorang figura seni muzik tersohor, Sheila Majid. 

Konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu mendapat sokongan penuh dari Pejabat Ketua Menteri Sabah. Menurut Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn Bhd, Raymon Fang berkata, "Sebahagian keuntungan bersih hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah untuk membantu pihak memerlukan. 

"Ini adalah inisiatif kami untuk memberikan semula kepada masyarakat melalui bidang hiburan," katanya.

Pada konsert itu nanti, Sheila akan menyampaikan lebih 20 buah lagu popularnya di mana ia akan diiringi 17 pemuzik terdiri daripada pemain hon, pemuzik band dan penyanyi latar sekaligus meletakkan konsep 'big band' sebagai aras penting bagi seorang anak seni bernama, Sheila Majid.

Walaupun mengambil latar masa dan konsep seakan persembahan artis antarabangsa, Sheila optimis dengan menjadikan Frank Sinatra, Michael Buble dan Justin Timberlake sebagai rujukan penting bagi membawa nafas muzik big band ke satu tahap yang boleh dikenang sebagai 'sebuah persembahan istimewa' yang tidak ada pada penyanyi tempatan yang lain. 

Selain bergelar penyanyi, Sheila juga pernah membintangi 3 buah filem antaranya, Ali Setan (1985), Bayi Tabung (1988) dan Sinaran (2015). Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu, Sabah merupakan konsert yang mendapat sentuhan maestro muzik terkenal, Mac Chew dan pengarah konsert, Jennifer Thompson. 

Tiket-tiket berharga RM238 (Emas), RM388 (Platinum), RM588 (Berlian), dan RM738 (VIP) sudah mula dijual sejak 16 Jun yang lalu. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu, Sabah pada 12 Ogos 2023, boleh klik di sini

Amy Ikram by wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan