Jika anda pernah melalui fasa membesar dengan lagu-lagu nyanyian Peterpan, mungkin kehadiran mereka pada 11 Julai depan adalah petanda indah buat pencinta seni dan muzik Nusantara. Pernah menggetarkan jutaan pendengar dengan rangkaian lagu popular seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna dan Ada Apa Denganmu, kini rindu itu bakal terubat menerusi The Journey Continues yang mengangkat kembali legasi Peterpan dalam sebuah pengalaman konsert penuh emosi.
Selepas mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia menerusi penganjuran oleh Aloka, gelombang nostalgia itu kini bersedia melanda peminat tempatan apabila Malaysia dipilih sebagai destinasi seterusnya. Bertempat di Idea Live Arena, konsert ini dijangka menghimpunkan ribuan peminat setia yang membesar dengan lagu-lagu malar segar kumpulan popular Indonesia itu sejak awal 2000-an.
Mengangkat konsep mengimbau kenangan, The Journey Continues bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman emosi yang mengajak penonton kembali menyelami detik-detik yang pernah hidup bersama muzik. Lagu-lagu ikonik akan dihidupkan semula, bukan hanya sebagai nyanyian, tetapi sebagai kisah yang pernah menjadi latar cinta, kehilangan dan harapan.
Keunikan konsert ini terletak pada pendekatan segar apabila karya-karya Peterpan dipersembahkan oleh barisan vokalis terpilih yang membawa interpretasi tersendiri, namun tetap setia kepada roh asal lagu. Antara nama yang bakal menghangatkan pentas termasuk Tantri, vokalis utama kumpulan Kotak yang dikenali dengan tenaga rock bertenaga, serta Rony Parulian yang memikat dengan vokal penuh emosi.
Turut menyertai barisan persembahan ialah Hael Husaini, penyanyi dan komposer tempatan yang cukup sinonim dengan sentuhan R&B dan pop moden, sekali gus menambah warna serta dimensi berbeza kepada konsert berkenaan.
Konsert ini dianjurkan oleh Pulse Project Asia dengan kerjasama rakan strategik industri termasuk Black Sky, Sunstrong, INTX dan Orlaith Inc. Lebih menarik, pihak penganjur turut membayangkan kehadiran dua lagi nama besar yang bakal diumumkan, sekali gus menambah debaran dan menjadikan konsert ini lebih dinamik serta sarat kejutan.
“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah satu perjalanan, perjalanan untuk menghidupkan semula rasa yang pernah menyatukan kita semua melalui muzik,” kata wakil penganjur.
Selain menjadi medan hiburan, penganjuran konsert ini juga dilihat sebagai platform memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia, di samping menyumbang kepada perkembangan industri kreatif serantau.
Tiket konsert akan mula dijual pada 30 April 2026 jam 1 petang menerusi rakan penjualan rasmi Ticket2u dan Fantopia. Bagi peminat setia Peterpan, inilah peluang untuk kembali merasai denyut emosi yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.
%202026%20WAJIB%20TONTON%20POSTING%20(71).png)



0 Ulasan